Mohamad Sabu tidak bersetuju dengan tindakan
kerajaan menghalang abu mayat Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia kerana
katanya, tiada apa yang perlu ditakutkan dengan abu mayat pemimpin
komunis itu.
Timbalan Presiden PAS itu berkata, Islam sendiri
tidak pernah menghalang mayat musuh agama untuk dijauhkan daripada
tempat suci dan keadaan seumpama turut berlaku di Mekah.
“Mengapa
kita hendak takut dengan abu mayat ini? Kubur Abu Jahal, Abu Lahab
masih ada di sekitar Mekah. Tidak ada masalah sebenarnya,” katanya
ketika dihubungi The Malaysian Insider merujuk kepada penentang Nabi
Muhammad pada zaman awal Islam.
“Kubur Firaun pun masih ada di Mesir. Tidak jadi masalah pun, dekat pula dengan Universiti Al-Azhar,” katanya.
Orang
ramai yang hadir di upacara pengebumian Chin Peng di Bangkok membaca
potongan surat khabar tentang bekas ketua Parti Komunis Malaya itu. -
Gambar Reuters, 21 September, 2013.
Beliau yang lebih
dikenali sebagai Mat Sabu berkata, Chin Peng adalah pejuang kemerdekaan
dan melawan penjajah British sebelum Malaya merdeka pada 31 Ogos 1957.
“Dia menentang dan membunuh Sir Henry Gurney yang membawa orang Yahudi masuk ke Palestin.
“Selepas 31 Ogos 1957, saya tidak berani komen kerana Malaya sudah Merdeka,” katanya.
Bekas
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor dalam temuramah bersama
BFM radio semalam memberi amaran Malaysia akan menjadi bahan ketawa jika
kerajaan tidak berganjak daripada keputusan `naif’ dengan enggan
membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa masuk ke dalam negara untuk
ditanam.
Menurutnya, tindakan itu juga akan menyebabkan bekas
pemimpin komunis itu bertukar menjadi ikon dan ia adalah langkah
terkebelakang dalam cubaan kerajaan untuk memenangi semula sokongan
masyarakat Cina berikutan prestasi buruk dalam pilihan raya umum ke 13
(PRU13) lalu.
“Masyarakat heboh mengenai abunya tidak dibenarkan
dibawa masuk ke Malaysia. Pertelingkahan ini berlanjutan keterlaluan.
Saya fikir ia sedikit naïf.”
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Razak sebelum ini berkata, kerajaan tidak akan menarik diri daripada
pendiriannya untuk menghalang abu mayat Ching Peng dibawa balik dan
mencabar mereka yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu untuk
mengambil tindakan undang-undang.
Ketua Polis Negara, Tan Sri
Khalid Abu Bakar berkata semua pintu masuk ke dalam negara berada dalam
keadaan berjaga-jaga, kerana kerajaan bimbang abunya dibawa masuk.
Semalam,
parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA juga melahirkan pendapat
mayat Chin Peng patut dibenarkan pulang ke sini untuk kali terakhir.
Pengerusi
biro publisiti MCA Datuk Heng Seai Kie berkata, mayat pengganas Dr
Azahari Husin dan Nordin Mohamad Top dibenarkan untuk dikebumikan di
Malaysia.
Kumpulan hak Melayu, Perkasa, bagaimanapun, memberi
amaran kepada MCA supaya parti itu jangan menimbulkan kemarahan orang
Melayu dengan mendesak Putrajaya membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa
balik ke sini.
Setiausaha agungnya, Syed Hassan Syed Ali, berkata
ramai orang Melayu dan Cina mati di tangan komunis yang diketuai Chin
Peng ketika pemberontakan.
Chin Peng atau nama sebenarnya, Ong
Boon Hua, meninggal dunia di hospital di Bangkok, Thailand pada Hari
Malaysia, sebulan sebelum hari lahirnya yang ke-89.
Ketika hayatnya, beliau berulang kali menyuarakan hasratnya untuk dikebumikan di kampungnya di Sitiawan, Perak.
Beliau
dilantik sebagai setiausaha agung PKM pada usia 23 tahun dan menjadi
“musuh nombor satu” British di Asia Tenggara ketika pemberontakan
komunis di Malaya. – 21 September, 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan