KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu Datuk
Seri Abdul Hadi Awang dikekalkan sebagai Presiden Pas dalam Muktamar
Tahunan Pas kali ke-59, November ini, sekali gus memberi signal kepada
perwakilan supaya jawatan itu tidak dipertandingkan.
Dalam masa yang sama beliau menyerahkan kepada ahli Pas untuk memilih
calon Timbalan Presiden yang kini disandang Mohamad Sabu, namun
menegaskan ia perlu diangkat dari golongan ulama.
“Saya berdoa dan minta Haji Hadi yang banyak pengalaman dan ilmu, kalau
boleh, biar dia teruskan jadi Presiden, tetapi timbalan atas undi dan
tentulah saya nak orang ulama jadi timbalan beliau,”katanya selepas
kuliah mingguan di Dataran Ilmu, disini, semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan portal berita yang
memetik twitter Yang Dipertua Pas Padang Serai, Fauzi Tahir mahu
menawarkan diri bagi mencabar Abdul Hadi merebut jawatan nombor satu itu
pada muktamar kali ini.
Fauzi berkata, penawarannya itu bukan ingin berlawan atau mencabar Abdul
Hadi tetapi adalah untuk menguji ahli Pas seluruh Malaysia tentang
kefahaman mereka terhadap perlembagaan parti.
Nik Aziz yang juga bekas Menteri Besar Kelantan itu mengakui mempunyai
calon pilihan sebagai timbalan presiden, namun tidak mahu mendedahkan
sebaliknya menyerahkan kepada ahli Pas untuk membuat keputusan terbaik.
"Saya tidak boleh sebut nama orang pilihan saya, orang yang nak jadi
timbalan kena calon nama dia, orang nak pilih atau tidak itu
terpulanglah kepada ahli, saya tidak boleh sebut nama dia," katanya.
Mengulas lanjut mengenai pemimpin bertaraf ulama yang beliau inginkan,
Nik Aziz berkata, semua pemimpin Pas mempunyai ciri-ciri ulama, namun
apa yang membezakan mereka adalah ilmu agama yang dituntut.
Dalam pada itu, desas desus yang mengatakan Nik Aziz berada keadaan
kritikal akibat penyakitnya terungkai apabila dia membuat kejutan
muncul dalam kuliah itu setelah beberapa minggu tidak hadir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan