Rabu, 11 September 2013

Saya Cakap Lain..Mereka Faham Lain..



Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) menafikan beliau meminta supaya golongan ulama dipilih sebagai Timbalan Presiden PAS.

“Akhbar tulis tu tidak betul, saya cakap lain mereka tulis lain. Bukan saya sebut tidak perlu pilih bukan ulama, kerana semuanya dalam PAS dipanggil ulama.


“Profesional pun ulama juga, begitu juga ulama pun profesional. Sengaja ada pihak hendak sebut dua nama, sedangkan sebenarnya satu sahaja,” kata Nik Abdul Aziz kepada pemberita ketika menghadiri persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini.

Baru-baru ini beberapa media seperti akhbar milik Umno, Utusan Malaysia cuba memberi gambaran Mursyidul Am PAS itu mahu ulama dipilih menduduki jawatan Timbalan Presiden.

Sementara itu, PAS kawasan Segamat, Johor memilih Datuk Husam Musa untuk dicalonkan sebagai Timbalan Presiden untuk Muktamar parti itu yang ke-59 November ini.

Pemilihan Husam dibuat oleh perwakilan muktamar yang bersidang 25 Ogos lalu, iaitu kawasan PAS yang pertama membuat mesyuarat agung.
Semalam, PAS kawasan Besut, Terengganu memilih Datuk Nik Mohamad Amar Nik Abdullah, Timbalan Menteri Besar Kelantan sebagai calon timbalan presiden mereka.

Pemilihan Nik Amar dibuat melalui mesyuarat jawatankuasa PAS kawasan itu selepas diberikan mandat oleh Mesyuarat Agung PAS kawasan sebelum ini.

"Pemilihan kedua-dua tokoh ini membayangkan sikap dua kumpulan penting dalam PAS untuk jawatan timbalan presiden kali ini.

"Apa yang jelas ulama mahukan Nik Amar manakala akar umbi mahukan Husam," kata seorang pemimpin PAS yang tidak mahu namanya disiarkan.

Beliau membuat andaian ini berdasarkan siapa di belakang jawatankuasa PAS kawasan Besut yang memilih Nik Amar sebagai calon mereka.

Antaranya Setiausaha Majlis Syura Ulama, Nik Zawawi Salleh dan Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu, Datuk Husein Awang di samping Yang Dipertua PAS kawasan Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad.
Bagi kawasan Segamat pula, ia membayangkan kehendak akar umbi PAS kawasan itu kerana pemilihan Husam dibuat oleh semua perwakilan mesyuarat agung kawasan itu.

Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub merasmikan mesyuarat agung itu.

Yang Dipertua PAS Segamat, Firdaus Masod, berkata beliau menyerahkan pemilihan itu dibuat oleh semua perwakilan untuk mengelakkan sebarang masalah jika jawatankuasa beliau membuat pilihan.

"Bayangkan mesyuarat agung kawasan kami terpaksa habis jam 12 tengah malam selepas bermula jam 9 pagi bagi membolehkan perwakilan diberikan hak sepenuhnya membuat semua pilihan," kata Firdaus kepada The Malaysian Insider.

Penyandang jawatan timbalan presiden PAS sekarang, Mohamad Sabu sudah mengesahkan beliau akan mempertahankan jawatan itu dalam muktamar ini.

Nama Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga disebut-sebut bakal mendapat pencalonan untuk jawatan ini tetapi belum dibuat secara rasmi oleh mana-mana kawasan.

Sementara itu, sehingga kini, hanya nama Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dicalonkan sebagai Presiden PAS sementara kawasan Besut dan Segamat mencalonkan Abdul Hadi untuk jawatan itu.

PAS akan mengadakan muktamarnya pada 22 - 24 November ini di Shah Alam, Selangor dengan pemilihan untuk semua jawatan dibuat. - 11 September, 2013.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan