Dakwaan adanya rancangan menanam bom sekitar Kuala Lumpur sempena
sambutan Tahun Baru dilihat seakan skrip sama yang diulangi semasa siri
Himpunan menuntut Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih).
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad
berkata, seperti Himpunan Bersih kewujudan bom petrol molotov cocktail
dan parang direka kononnya untuk menghuru-harakan keadaan.
Malah katanya, Umno-Barisan Nasional melalui institusi kerajaan dan
media menabur fitnah dengan dakwaan bahawa akan berlaku keganasan untuk
menggulingkan kerajaan dalam himpunan ini.
“Namun tuduhan seperti kononnya ada molotov cocktail dan parang habis begitu sahaja selepas Bersih.
“New Straits Times pula terpaksa meminta maaf atas dakwaan akhbar
tersebut bahawa beberapa NGO digunakan untuk menggulingkan kerajaan,”
katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas mengenai isu kewujudan email yang dihantar bekas Exco
Pemuda Umno Pulau Pinang, Dr Rahim Ghouse kepada Pengarah Strategi PKR
Rafizi Ramli mengenai amaran letupan bom semasa malam 31 Disember nanti,
seperti yang tersebar dalam blog.
Email ‘C For Chaos’ (C Untuk Huru-Hara) mendakwa bahan letupan kecil
akan diletakkan di persimpangan lampu isyarat di hadapan Sogo dan
Puduraya, bulatan Masjid Negara dan KTM, stesen LRT Masjid Jamek dan
stesen Komuter Bank Negara.
Kemudiannya satu ‘pasukan sosial media’ akan merekodkan peristiwa
tersebut dan menyebarkannya secara ‘online’ kemudian akan menuding jari
menyalahkan BN.
Berikutan itu, polis semalam memanggil Rafizi ke Ibu Pejabat Polis
Daerah (IPD) Dang Wangi untuk membantu siasatan dan Rafizi bagaimanapun
menafikan dirinya terlibat dalam rancangan tersebut.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi yang juga Timbalan Speaker Selangor
berkata tindakan itu adalah cubaan mengalihkan perhatian daripada
tuntutan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) mengenai kemelut kos
kenaikan harga barang.
Antara tuntutan itu mendesak agar kerajaan memerangi rasuah, menyusun
semula subsidi korporat, menangguhkan pelaksanaan cukai Barang dan
Perkhidmatan (GST), mendedahkan perjanjian konsesi tol dan menghapuskan
monopoli gula.
“Justeru saya akan turun untuk perhimpunan Turun dan saya turut
menyeru anak-anak muda yang cintakan keadilan dan keamanan untuk
bersama-sama pada 31 Disember ini.
“Kita buktikan kita tidak akan tunduk kepada provokasi atau
terpengaruh dengan propaganda murahan dan akan berhimpun secara aman
untuk menyatakan pendirian kita,” katanya yang menganggap himpunan itu
sewajarnya diraikan dengan semangat demokrasi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan