Selasa, 28 Mei 2013

Terkini..Bot Bawa 100 Penumpang Karam Di Serawak..





Sebuah bot ekspres sarat dengan penumpang yang ingin pulang untuk sambutan Hari Gawai, karam di kawasan Jeram Tukok/Jeram Bungan, kira-kira 40 minit perjalanan dari sini, pada Selasa.

Sehingga kini jumlah mangsa belum disahkan dan polis masih berada di tempat kejadian.
Ketika kejadian yang dilapor antara pukul 8.30 dan 9 pagi ini, bot berkenaan dikatakan membawa lebih 100 penumpang yang ingin pulang untuk sambutan Pesta Gawai Dayak hujung minggu ini.

Anggota Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Majlis Daerah Kapit Daniel Levoh ketika dihubungi Bernama berkata 'Bot Ekspres Bakun Mas' itu melepasi Belaga pada pukul 8 pagi.

Daniel berkata beliau dimaklumkan bahawa hanya seorang wanita mengandung yang maut dalam kejadian itu.

Beliau berkata bot yang datang dari Bakun itu membawa penumpang yang kebanyakannya pekerja pembalakan dan ladang kelapa sawit di kawasan itu.

"Bot itu biasanya berhenti di Belaga tetapi disebabkan telah penuh, ia meneruskan perjalanan tanpa berhenti di Belaga," katanya.

"Ramai penumpang dilihat duduk di atas bumbung bot itu," katanya sambil memberitahu kapasiti bot itu ialah 67 penumpang.

Sementara itu ketua penerangan Parti Rakyat Sarawak Dannny Bungan berkata polis dan petugas Lembaga Sungai Sarawak perlu ditempatkan di kawasan-kawasan pedalaman seperti Bakun dan Belaga untuk memantau keadaan semasa sambutan sesuatu perayaan besar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan