Khamis, 8 Julai 2010

Fuhh..Nafsu Serakah Umno Kini Mengilai Untuk Menahan Terbitan Harakah Pula..


Harakah mempersoalkan kesahihan kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung dakwaan kementerian itu mengeluarkan surat tunjuk sebab mengenai pelbagai isu terhadap akhbar rasmi PAS itu.

Sambil menafikan menerima sebarang surat tunjuk sebab, Pemangku Ketua Pengarang Harakah, Taufek Yahya berkata, pihaknya hairan bagaimana mereka perlu menjawab tuntutan berkenaan sedangkan tidak menerima sebarang surat yang berkaitan.

"Saya juga hairan tentang isu tunjuk sebab ini, kami tidak menerima sebarang surat tunjuk sebab daripada KDN seperti yang mereka dakwa di akhbar.

"Kalau saya nak kata mereka (KDN) berbohong, mungkin kasar bunyinya... tapi hakikatnya memang kami tak terima apa-apa surat lagi setakat ini," katanya kepada mStar Online.

Akhbar melaporkan pada Khamis, KDN memberi tempoh tujuh hari mulai Selasa lalu kepada Harakah bagi menjawab surat tunjuk sebab berhubung pelbagai isu berkaitan syarat penerbitan termasuk kegagalan menghantar lapan salinan bagi setiap keluaran akhbar itu.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Mahmood Adam dilaporkan berkata, surat tunjuk sebab itu diserahkan kepada Taufek sewaktu menghadiri sesi pertemuan dengan pegawai KDN di kementerian itu, Isnin lalu.

Malah menurut Mahmood, kegagalan akhbar berkenaan menjelaskan surat tunjuk sebab itu dengan memuaskan boleh menyebabkan permohonan permit penerbitannya yang tamat semalam menemui masalah.

Bagaimanapun Taufek berkata, pada pertemuan bersama editor akhbar tabloid pada Isnin lalu, KDN tidak langsung membangkitkan mengenai isu permit dan surat tunjuk sebab seperti yang dikatakan Mahmood.

"Mereka tak sentuh langsung pasal isu permit dan surat tunjuk sebab, malah beliau sendiri (Mahmood) pun tak hadir pada pertemun itu," katanya.

Justeru Taufek berkata, beliau sudah menghubungi pejabat KDN bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara berkenaan.

"Saya hubungi Datuk Mahmood pagi tadi, tapi beliau ada mesyuarat, saya masih menanti maklum balas daripada KDN," katanya.

Ditanya kemungkinan Harakah bakal menghadapi nasib yang sama dengan Suara Keadilan yang digantung permit kerana isu `Felda Bangkrap', Taufek berkata: "(Situasi) Suara Keadilan dan Harakah berbeza, kita tak boleh guna pertimbangan yang sama."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan