Khamis, 10 Februari 2011

Kecohh..Pemuda DAP "Bantah" Cadangan Utz Nasrudin..??

Sayap Pemuda DAP membantah cadangan Ketua Pemuda PAS pusat Nasrudin Hasan at-Tantawi yang mahu melancarkan kempen membendung aktiviti tidak sihat pada sambutan Hari Kekasih, Isnin ini.

Ketuanya Anthony Loke (gambar) menegaskan parti itu tidak bersetuju sama sekali pendekatan yang diambil Nasrudin untuk melakukan “pemeriksaan tidak bermoral” terhadap pasangan pada sambutan Hari Kekasih.

“Ia melampaui kuasa ahli Pemuda PAS untuk melakukan penguatkuasaan sedemikian dan kempen itu tidak pernah dibincangkan dengan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Pemuda DAP.

“Ketika mesyuarat pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat, Nasrudin tidak pernah membangkitkan isu ini dan ia boleh memberi kesan kepada Pakatan Rakyat terutamanya negeri-negeri pimpinan Pakatan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Loke, tindakan Pemuda PAS mengarahkan pihak berkuasa tempatan bekerjasama dengan jabatan agama di empat negeri Pakatan Rakyat menunjukkan sikap tidak menghormati kerajaan negeri.

“Pemuda PAS tidak mempunyai kuasa untuk memberikan sebarang arahan kepada kerajaan negeri.

“Pemuda PAS kena sedar Pakatan Rakyat terdiri daripada tiga parti politik yang mana sebarang keputusan harus dibuat dalam mesyuarat kerajaan negeri,” katanya.

Ahli Parlimen Rasah itu berkata tindakan Nasrudin berbuat demikian akan membahayakan Pakatan Rakyat.

Nasrudin dilaporkan berkata telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan di Kedah, Kelantan dan Selangor untuk bekerjasama dengan polis dan Rela bagi membendung aktiviti tidak bermoral itu.

Katanya, Pemuda PAS akan bekerjasama dengan jabatan agama setiap negeri untuk memantau sambutan Hari Kekasih.

Beliau berkata langkah itu diambil sebagai satu percubaan untuk membendung gaya hidup tidak sihat dan menyumbang kepada dosa.

Bagaimanapun, cadangan Nasrudin itu ditolak pemimpin PAS Selangor dengan menyifatkan ia hanya pandangan peribadi beliau sahaja.



1 ulasan:

  1. Quote"Bagaimanapun, cadangan Nasrudin itu ditolak pemimpin PAS Selangor dengan menyifatkan ia hanya pandangan peribadi beliau sahaja"Unquote

    Kalau pun itu pandangan peribadi-Apa kah ia bertentangan dgn kehendak atau tuntutan dlm Islam i.e (Mencegah kemungkaran)?

    Habis bila lagi PAS berani melakukan nya,kalau ia sebuah parti yg.memperjuangkan dan mengegakan Islam?(Membangun bersama Islam).

    Kita tidak mengangkap pasangan bukan Islam,so ...mengapa DAP yg lebe sudu dari kuah?

    Jangan kita untung sekarung di Dunia,tapi kita rugi seguni di hadapan Allah s.w.t.

    BalasPadam