Rabu, 6 April 2011

Sepupu Lawan Taib Mahmud Di Balingian..

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian bakal menyaksikan saingan tiga penjuru apabila sepupu kepada Ketua Menteri mengumumkan bertanding atas tiket Gerakan untuk Perubahan Sarawak (MoCS).

Bekas Menteri Pelajaran, Datuk Salleh Jafaruddin pada Selasa mengesahkan akan menentang Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang juga penyandang bagi kerusi Balingian.

"Saya bertanding atas dasar prinsip dan agama," katanya yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) alingian antara 1974 dan 1977.

Sehingga kini Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga mengesahkan mempertaruhkan Suriati Abdullah di kerusi yang sama.

Salleh menegaskan beliau menentang kepimpinan dan polisi Abdul Taib sebagai Ketua Menteri namun percaya bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak merupakan pemimpin yang baik.

"Hari ini saya tidak mempunyai tanah walaupun seinci, saya bertanding di kerusi berkenaan kerana Balingian adalah rumah saya.

"Saya mahu kepada perubahan dan keadilan," katanya.

Sementara itu, Abdul Taib pada majlis berasingan berkata, sepupunya itu berhak untuk bertanding dalam pilihan raya negeri yang akan diadakan pada 16 April depan.

Bagaimanapun menurutnya pengundi di Balingian bijak menilai kredibiliti calon yang bakal mewakili mereka kelak.

"Terpulang kepada beliau kerana negara ini bebas... bebas untuk bertanding. Orang tahu ada banyak jenis calon.

"Dan bagaimana pula anda menilai Salleh dalam politik?" katanya di Lundu.

Ditanya sama ada Salleh akan memberikan tentangan sengit kepadanya, Abdul Tain berkata: "Beliau sudah lama dalam politik, adakah beliau calon yang berkaliber? Apa yang beliau lakukan?"

1 ulasan:

  1. Confirm kuda tua ini memang lagi, sepupu lagi senang di urus. Politik hampeh. kenapa tak bertanding di tempat lain kalau kuat sangat, asyik pertahankan kerusi lama

    BalasPadam