Seorang wanita yang baru bergelar pengantin seminggu lalu terpaksa tidur di dalam lokap selepas ditahan polis awal pagi semalam setelah tindakannya mencuri gelang emas sepupunya terbongkar.
Suspek, 27, dari Kampung Pasir Panjang ditahan kira-kira jam 3 pagi di kediaman ibu bapanya rentetan laporan polis dibuat sepupunya yang mengesyaki gelang emasnya dicuri dan dijual suspek Jun lalu.
Sinar Harian difahamkan, suspek yang tidak bekerja melakukan tindakan bodoh itu kerana terdesak untuk mencari wang bagi menampung kos membeli barang hantaran sempena majlis perkahwinannya yang berlangsung Jumaat lalu.
Difahamkan, suspek mencuri gelang emas terbabit di rumah sepupunya itu dan telah menjual gelang berkenaan dengan harga RM2,700.
Bagaimanapun, tindakan suspek hanya disedari sepupunya kelmarin sejurus menyedari gelang emasnya hilang dan terus membuat laporan polis di balai polis Kuala Terengganu.
Suspek yang inai perkahwinannya masih merah dijari kini ditahan reman selama dua hari bermula semalam.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Abdul Halim Mohd Ishak ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan tangkapan suspek.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan