Juruanalisis bahagian audio dan video makmal forensik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras ASP Fauziah Che Ismail berkata, terdapat tiga perakam video digital (DVR) yang dianalisisnya, terdiri daripada rakaman antara pukul 8 hingga 11 pagi 6 April lalu.
“Hasil daripada analisis ketiga-tiga DVR ini, saya dapati DVR 1 dan DVR 2 pada tarikh 6 April tidak merakamkan apa-apa dari pukul 8 hingga 11 pagi.
“Bagaimanapun DVR 3, saya memperoleh rakaman imej si mati yang dirakamkan pada pukul 8.30 pagi,” kata beliau ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Nor Amalina Ismail.
Menurut Fauziah, tiga DVR tersebut merupakan alat perakam di tiga tempat berbeza iaitu DVR 1 dan 2 meliputi kamera dalam bangunan manakala DVR 3 memberi tumpuan ke atas kawasan luar bangunan SPRM.
Selain itu, Fauziah turut berkata, DVR 1 dan 2 tidak beroperasi secara normal dan rakaman turut “diganggu.”
“Terdapat dua gangguan terhadap DVR 1 dan 2 sehingga menyebabkan rakaman terhenti. Gangguan pertama pada DVR 1 pada 5 April pukul 14:17:52 (pukul 2.17 petang) sehingga 14:19:23 (2.19 petang) yang menyebabkan gangguan selama beberapa minit. Sama seperti DVR 2. Gangguan pertamanya hanya beberapa minit.
“Bagaimanapun bagi gangguan kedua, DVR 1 mula berhenti pada 5 April, pukul 14:47:15 (2.47 petang) hingga 6 April, 13:24:16 (1.24 tengah hari) iaitu selama 22 jam dan 33 minit. Sama seperti DVR 2 yang mengalami gangguan pada tarikh sama bermula pukul 14:37:54 (2.37 petang) hingga 13:26:17 (1.26 petang). Kesemuanya berpunca dari ‘record off manually’. Untuk DVR 3 tiada gangguan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, DVR 3 hanya merakamkan imej Allahyarham Sarbaini memasuki bangunan SPRM dengan menunggang motosikal.
Turut dipaparkan beberapa minit rakaman video Allahyarham Sarbaini yang berhenti untuk membuat pendaftaran masuk di pondok pengawal SPRM dengan berbaju kemeja putih berseluar hitam.
Selepas itu, beliau dilihat memasukkan baju ke dalam seluar dan beredar dari pondok tersebut.
“Hanya dapat rakaman dia masuk. sahaja yang dapat dikesan,” katanya yang turut menambah rakaman video DVR 3 beroperasi secara manual antara 8 hingga 11 pagi pada 6 April.
Selain itu, ketika Fauziah ditanya oleh peguam pemerhati keluarga Sarbaini, Awtar Singh mengenai rakaman tersebut tidak beroperasi dengan sempurna, Fauziah menjawab: “Ya, ia diganggu oleh seseorang.”
Ahmad Sarbani, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang, ditemui mati di gelanggang badminton bangunan SPRM pada 6 April lalu.
Dia dilaporkan pergi ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai kastam.
Turut hadir pada prosiding hari ini isteri Sarbani, Masiah Manap dan beberapa anggota keluarganya. IInkues yang bermula hari ini akan berlarutan sehingga 15 Julai ini.
Dalam pada itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur Mohamad Yusoff Akope berkata Allahyarham Sarbaini hadir di bangunan tersebut pada hari kejadian sebagai “tetamu.”
“Bagaimana dia dilayan pada hari kejadian? Adakah dia datang sebagai suspek atau seorang saksi,” soal Awtar.
“Pada hari kejadian, dia datang sebagai seorang tetamu,” kata Yusoff.
Yusoff merupakan saksi keempat inkues yang bermula Isnin lalu.
Dalam keterangannya Yusoff juga menafikan beliau ada menggunakan perkataan “rebah” ketika bercakap dengan Maziah.
“Saya tidak pernah menggunakan perkataan rebah. Saya memberitahu dia telah jatuh. Saya memberitahu dia apa yang saya katakan,” kata Yusoff lagi.
Maziah merupakan saksi pertama inkues dan telah memberikan keterangan pada Isnin lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan