Seorang gadis ‘miang’ yang sebelum ini pernah dikenakan hukuman kerana bersekedudukan dengan teman lelaki tidak pernah serik apabila dia sekali lagi dicekup Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Namun kali ini, dia dicekup berkhalwat dengan lelaki lain apabila teman lelakinya pergi berkursus.
Pegawai Masjid Al-Azim Pandan Indah, Ahmad Nawi Osman berkata, operasi tersebut dijalankan di sebuah rumah kedai kira-kira jam 5.30 pagi semalam, setelah pihaknya menerima maklumat daripada orang awam.
“Kami terpaksa menunggu beberapa minit sebelum pintu rumah dibuka oleh seorang gadis berusia 20 tahun. Dia yang berpakaian lengkap itu memberi alasan tinggal seorang diri di rumah berkenaan apabila kami menyoal siasat,” katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati rumah tersebut disewa oleh teman lelaki kepada wanita berkenaan.
“Ketika serbuan dijalankan, kami mendapati pasangannya hanya memakai seluar pendek tanpa baju menyorok di bawah katil,” katanya.
“Pasangan tersebut dibawa ke balai polis berhampiran untuk pihak kami membuat laporan polis,” katanya.
Ahmad Nawi berkata, dalam operasi berasingan pihaknya turut mencekup sepasang kekasih yang juga penuntut di institut pengajian tinggi awam (IPTA) pada jam 8.00 pagi di sebuah pangsapuri di Pandan Indah setelah didapati berkhalwat.
“Kedua-dua operasi itu dijalankan di bawah Seksyen 29, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, jika disabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan