Kedatangan Ramadan setiap tahun pastinya ditunggu-tunggu bukan sahaja buat mereka yang ingin beramal untuk menambah pahala, bahkan turut dinanti peniaga kecil bagi meraih pendapatan yang datang setahun sekali.
Sama seperti peniaga lain, Mohd Syazmeir Yusuf, 21, memang menantikan bulan mulia ini untuk menambah rezeki dengan menyediakan juadah berbuka puasa ‘ayam golek madu’ resipi ibunya, Noraini Abdullah.
Mohd Syazmeir yang berniaga di tapak Bazar Ramadan Kampung Paya Pulai begitu teruja apabila tiba Ramadan kerana dia dan keluarganya mampu meraih pendapatan tambahan sehingga RM1,400 sehari atau lebih RM40,000 sebulan.
Menurutnya, jumlah itu dikira secara purata berdasarkan hasil jualan yang mampu mencecah 70 ayam sehari dengan setiap ekor dijual dengan harga RM20.
“Ia kiraan secara kasar, pendapatan sebenar saya tidak berani cakap sebab ayah yang mengawal kewangan, namun secara mudah, jualan kami sekeluarga boleh mencecah 70 ekor dan kadang-kadang lebih,” katanya, semalam.
Mohd Syazmeir yang menetap di Kampung Tanjung Besar, di sini berkata, hasil jualan yang tinggi mungkin disebabkan resipi ayam golek madu ciptaan ibunya sangat digemari ramai, malah bapanya, Mohd Yusuf Daud 55, turut dikenali ramai.
Menurutnya, dia membuka perniagaan seawal jam 1.30 tengah hari setiap hari dan akan menutup operasi perniagaannya kira-kira jam 6.50 petang.
“Kami sudah berniaga di sini sejak empat tahun lalu dan tapak masih kekal, sebab itu pelanggan yang sudah mencuba makan ayam golek kami akan datang serta beli lagi.
“Selain berniaga di bazar Ramadan Kampung Paya Pulai, keluarga saya turut berniaga di bazar Ramadan Lurah Semantan, di pekan Temerloh.
“Kami sekeluarga seramai 10 orang akan bekerjasama setiap hari mencari rezeki dan sama-sama menikmati hasilnya,” katanya.
Mohd Syazmeir berkata, bagi memastikan kesegaran ayam terjamin serta mendapatkan bekalan dengan harga lebih murah, keluarganya akan berhubung dan mendapatkan bekalan terus dari ladang ayam berhampiran Triang, Bera.
Menurutnya, apabila habis bulan Ramadan, dia dan keluarga akan beralih kepada bidang pertanian dengan mengusahakan tanaman jagung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan