Selasa, 16 Ogos 2011

Terkini..Gereja Pula Tangguh Jumpa Pimpinan PAS..

Pihak Gereja Methodist Damansara Utama (GMDU) menangguhkan pertemuan dengan PAS yang sepatutnya berlangsung petang ini.

Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali berkata, PAS menerima surat daripada pihak GMDU semalam meminta pertemuan ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Menurut Mustafa, GMDU dalam suratnya menyatakan ianya terpaksa ditangguhkan kerana isu ini sudah menjadi terlalu umum dan mendapat pelbagai tafsiran daripada pelbagai pihak.

"Saya dapat surat semalam, GMDU minta tangguh dulu, bukan batal.

"Sebab yang diberikan isu ini sudah menjadi terlalu umum dan ditafsirkan macam-macam," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, hari ini.

Mustafa juga berkata, GMDU juga pada asalnya tidak mahu sebarang liputan media diadakan sewaktu pertemuan tersebut.

"Dalam surat pertama dahulu pun, GMDU memang tidak mahu sebarang liputan media. Jadi PAS cadangkan pertemuan diadakan di tempat lain.

"Tapi mungkin GMDU lihat terlalu banyak komen, jadi mereka minta tangguh dahulu. Lagipun media selalu tanya pasal pertemuan ini," katanya.

Ditanya harapan PAS terhadap pertemuan tersebut, Mustafa berkata ianya bagi mendengar penjelasan daripada semua pihak.

"Oleh kerana tidak bertemu lagi, jadi tidak ada kesimpulan lagilah," katanya.

Pertemuan yang sepatutnya berlangsung di GMDU 4 petang ini melibatkan sembilan pimpinan PAS termasuk beliau.

Mereka diketuai Timbalan Presiden Mohamad Sabu, Naib Presiden Salahudin Ayub, Ketua Penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, AJK PAS Pusat Idris Ahmad, Dr. Siti Mariah Mahmod, Dr. Dzulkefly Ahmad, Dr. Mujahid Yusof dan Pesuruhjaya PAS Selangor Dr. Abd Rani Osman.

Pertemuan dengan Jais yang sepatutnya berlangsung semalam juga dibatalkan atas nasihat Sultan Selangor.

PAS bagaimanapun berharap Jais mahu menemui mereka selepas selesai mengeluarkan hasil laporan siasatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan