Khamis, 8 September 2011

Spekulasi Ini Tidak Betul Sama Sekali - Khalid

Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini mengetepikan dakwaan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad bahawa wujud konspirasi didalangi oleh pihak berkuasa agama negeri Selangor sambil menegaskan spekulasi sedemikian tidak relevan sama sekali.

“Saya masih menteri besar, jadi spekulasi tidak relevan pada masa sekarang,” kata beliau selepas satu majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri di sini hari ini.

Khalid juga tidak bersetuju dengan pandangan bahawa kedudukannya telah dibelakangi apabila pihak berkuasa negeri — Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) — telah mengadakan pertemuan dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan Islam untuk menjelaskan serbuan ke atas Gereja Methodist Damansara Utara pada 3 Ogos lalu, tanpa pengetahuannya.

Khalid berkata, beliau hanya mengeluarkan arahan tutup mulut kepada Exco Kerajaan Negeri manakala Mais pula bertanggungjawab kepada Sultan Selangor dan bukannya kerajaan negeri.

Kata beliau, kecuali anda mempunyai makumat-maklumat yang diperlukan dan boleh dijustifikasikan, “anda membuat spekulasi, menyebabkan kesangsian di kalangan semua pihak yang terbabit dan keseluruhan komuniti.”

Terdahulu Ahli Parlimen Shah Alam berkata reaksi Pengerusi Mais Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa mengenai satu pertemuan dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam menimbulkan banyak persoalan termasuk sama ada agensi itu telah bertindak membelakangi Menteri Besar,

“(Sekarang) Pengerusi Mais sudah memberi penjelasan, mengakui bahawa memang ada satu pertemuan. Jadi, sekarang ia menimbulkan banyak soalan... sama ada ia satu pertemuan rasmi atau tidak rasmi, apakah ia membelakangkan Menteri Besar sebagai ketua pentadbiran kerajaan negeri,” kata Ahli Parlimen Shah Alam ini kepada The Malaysian Insider.

Khalid juga berkata, jika ia satu pertemuan rasmi, maka sama ada perkara tersebut telah pun dimaklumkan kepada Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri yang bertanggumgjawab ke atas hal ehwal agama Islam.

“Jika ia satu pertemuan rasmi, sama ada surat jemputan rasmi ada dikeluarkan, ada agenda mesyuarat (pertemuan), ada minit mesyuarat? Adakah Menteri Besar sendiri ada dimaklumkan dan beliau dijemput sekali?

“Jika rasmi, sama ada hasil pertemuan dimaklumkan kepada Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri (Datuk Dr Hasan Ali)?” kata Khalid yang juga Yang Dipertua PAS kawasan Shah Alam.

Apabila ditanya pertemuan itu diadakan tanpa pengetahuannuya, Menteri Besar sekali lagi mengetepikan perkara itu sambil meminta pemberita agar bercakap dengan Jais atai Mais terus.

“Setahu saya, ini bukan sebahagian daripada pengurusan negeri ini. Kami juga percaya pada perbincangan persendirian dan membolehkan orang ramai membincangkan perkara secara persendirian,” katanya lagi.

Tambah beliau, orang ramai boleh mendampingi Mais terus jika mereka mahukan lebih banyak maklumat mengenai isu tersebut.

Di pihak kerajaan negeri Selangor, Khalid berkata, beliau akan menunggu laporan Jais, yang dijangka diperoleh menjelang 16 September.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan