Selasa, 21 Februari 2012

Niz Aziz Dan Anwar Berbeza Pendapat..??

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan bahawa parti itu tidak akan sekali-kali mengiktiraf negara Israel walaupun sekutunya dalam pembangkang iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempunyai pendirian yang berbeza.

"Saya ingin mengulangi pendirian saya dan Majlis Syura serta pendirian PAS khususnya bahawa (kami) tidak sekali-kali mengiktiraf walaupun seinci hak Yahudi terhadap bumi Palestin yang dirampas pada hari ini.
"Berbeza atau tidak dengan sesiapa, PAS tetap dengan pendirian ini," katanya di sini, Selasa.
Penegasan berkenaan dibuat menteri besar Kelantan itu selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kuala Lumpur pagi tadi.

Pertemuan berkenaan diatur bagi menjelaskan pendirian Anwar berhubung kenyataan kontroversinya yang menyokong sebarang usaha memastikan keselamatan negara Israel.

Malah baru-baru ini Nik Aziz turut menggesa Anwar menarik balik kenyataannya dalam The Wall Street Journal (WSJ) atau mengambil tindakan undang-undang sekiranya kenyataan tersebut disalah lapor.
Namun menerusi penjelasannya mengenai kontroversi tersebut sebelum ini, Anwar tetap dengan pendiriannya mengiktiraf kewujudan negara Israel dengan syarat tentera negara tersebut perlu berundur dari tanah Arab, keganasan dihentikan serta aspirasi dan kewujudan rakyat Palestin dihormati.

Malah beliau turut mengakui wujud perbezaaan pendapat di antara beliau dan PAS berhubung konflik Israel dan Palestin yang mana parti sekutu dalam pakatan pembangkang itu menolak sama sekali kewujudan negara Yahudi itu.

Bagaimanapun menerusi kenyataan yang dipetik daripada laman sosial facebook, Nik Aziz turut mengecam pihak yang menjalinkan hubungan perdagangan dengan Israel.
"Hairannya sesetengah pihak yang kelihatan sangat anti Yahudi masih tergamak menjalinkan hubungan dagang dengan Israel bahkan membenarkan pelabuhan negara disinggahi kapal Israel.

"Pihak-pihak ini hakikatnya hanyalah ayam jantan yang berkokok gagah sedangkan ekornya bergelumang najis," katanya.
Kecaman tersebut dipercayai merujuk kepada dua kapal milik Israel yang didakwa berlabuh di Westport, Pelabuhan Klang pada 16 Februari lalu.

2 ulasan:

  1. beza pendapat pun beza pendapatlah ... janji dana pilihanraya dari yahudi amerika masuk untuk PRU13 . Putrajaya kan matlamat utama .... apa nak jadi pun jadi lah .... PAS Parti Angguk Saja

    BalasPadam
  2. rujuk pada sejarah siapa dari bangsa dan apa nama nabi dan rasullah yang memerentah yang diberi nama palastin pada ketika ini.

    BalasPadam