Bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir
hari ini membidas tindakan pemimpin Umno yang mahu merujuknya ke
Jawatankuasa Disiplin parti itu ekoran beberapa kritikannya.
"Saya
tak ada masalah apa, saya pun tak bergantung hidup pada parti, cuma
saya kesianlah kerana Umno sudah menyimpang jauh," katanya.
Presiden Umno, Datuk Seri Najib 27 Januari lalu memaklumkan, Tan
Sri Kadir akan dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin Umno berikutan
beberapa kenyataan yang dibuat oleh beliau.
Tindakan diambil Umno
berikutan beberapa siri temubualnya dengan media alternatif khususnya
dengan TVPAS (Harakahdaily), MobTV dan Malaysiakini.tv yang menyentuh
isu pembelian undi pilihan raya yang sedang berjalan dan kegagalan BN
melaksanakan agenda bumiputra yang ditafsir sebagai menghentam parti.
"Pandangan
yang saya beri dalam rakaman ini tidak sampaipun 10 peratus dari apa
yang kami Pemuda Umno dan yang lain-lain pada tahun 60an dan 70an dahulu
pernah berhujah, mengkritik dan memberi pandangan termasuk yang pedih
terhadap pimpinan parti.
"Kepada Jawatankuasa Disiplin pula
tidaklah perlu bersusah payah untuk menyiasat saya kerana saya akan
menghantar kepada mereka rakaman-rakaman ini yang penuh dan tidak
diedit," katanya pada sidang media di pejabatnya di Mines Waterfront di
sini.
Salinan rakaman temubual itu menurutnya akan dihantar kepada pejabat Umno selewat-lewatnya minggu depan.
Pada
temubualnya dengan TVPAS dan Harakahdaily Januari lalu, Abdul Kadir
mendedahkan jentera BN sekarang sedang masuk ke kampung-kampung
mengedarkan wang tunai yang juga disebutnya sebagai strategi "bom" untuk
tujuan membeli undi pada pilihan raya.
Dalam isu agenda
bumiputra pula, dalam temubual itu beliau mendakwa kerajaan BN telah
gagal meletakkan kedudukan sosio ekonomi bumiputra di tahap sepatutnya
sedangkan BN sudah diberi tempoh 50 tahun memerintah.
Ianya termasuk kemudahan pinjaman 30 peratus kepada syarikat kecil bumiputera yang kini sudah dihentikan.
"Kalau
benda macam ini pun saya tak boleh bagi pandangan, apa dah jadi dengan
Umno. Saya ni orang lama, kaji la dulu apa yang orang kritik.
"Datuk
(Sri) Najib pernah buat lawak kata wujud dilema dalam Umno 'jika beri
salah, tak beri kalah', maknanya ini (politik wang) sudah jadi tabiat
yang diterima dalam Umno," katanya yang juga bekas Menteri Penerangan
dan Komunikasi.
Menyifatkan rasuah politik oleh Umno itu sebagai
perbuatan hodoh dan ketinggalan zaman, Abdul Kadir juga mendakwa wujud
keadaan di mana mereka perlu membayar wang kepada rakan-rakan
seperjuangan untuk mendapat tempat dalam parti termasuk jawatan
tertinggi.
Selain itu, beliau juga menasihatkan pemimpin Umno
agar tidak menuding jari kepada pihak lain berhubung kegagalan
perlaksanaan agenda bumiputera.
"Jangan persalahkan orang Cina
atau parti-parti politik Cina di atas kegagalan pimpinan kita (Umno)
sendiri untuk meletakkan kedudukan sosio-ekonomi bumiputera ditempat
yang adil dan sepatutnya," katanya lagi.
Beliau yang kini
memegang jawatan Timbalan Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) juga
mendakwa, tindakan Umno ke atasnya itu hanya mengesahkan pandangan
rakyat selama ini bahawa Umno sekarang bukan sebuah parti demokratik.
Menurutnya,
ia berbeza dengan Umno zaman penubuhannya oleh Datuk Onn Jaafar dahulu
yang benar-benar demokratik dan mendengar pandangan semua pihak.
Ditanya jika Umno akan mengambil tindakan terhadapnya, beliau berkata ianya bukan masalah baginya.
lawan datuk jangan tak lawan
BalasPadam