Selasa, 6 Mac 2012

Apa Hal Artis Ini Marah Dengan Khairy Jamaluddin..

Pengarah filem Ahmad Idham enggan melayan komen dan persepsi negatif segelintir pihak yang mengecamnya kerana dianggap tidak boleh menerima pandangan ahli politik Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ) mengenai filem arahannya, Hantu Bonceng.

Ahmad Idham berkata, dia enggan mengulas mengenai isu terbaru ini kerana bimbang sesuatu yang berkaitan politik akan terus diputar belit dan disalah ertikan oleh khalayak.
“Saya sudah jangka, apabila ia melibatkan politik, pasti akan jadi lain dan mengundang pelbagai persepsi. Setiap perkataan yang dikeluarkan ahli politik sememangnya meninggalkan impak dan persepsi kepada khalayak.

“Saya tidak mahu melayan persepsi khalayak yang tidak memahami keadaan sebenar dan sebab di sebalik tindakan saya mempersoalkan teguran KJ dalam Twitter,” katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau itu mengemas kini status akaun Twitternya selepas malam gala filem Bunohan pada minggu lalu dengan memuji filem itu yang cemerlang dari segi sinematografi, metafora dan dialog tidak seperti filem Hantu Bonceng arahan Ahmad Idham.
Hantu Bonceng telah menemui penonton di pawagam pada 31 November 2011.

Komen Khairy yang mengundang jawapan balas Ahmad Idham
Ahmad Idham menegaskan dia bukan tidak boleh menerima teguran dan kritikan orang lain terhadap karyanya, cuma berasa terkilan dan pelik kerana komen tersebut dikeluarkan oleh KJ tanpa ahli politik itu mengetahui senario sebenar industri perfileman tanah air.

“Saya bukan tidak boleh ditegur atau dikritik tetapi saya jadi tergamam dengan komen beliau (KJ) dalam akaun Twitter itu seolah-olah membandingkan filem saya, Hantu Bonceng dengan Bunohan.
“Apakah rasional komen sebegitu dikeluarkan tanpa beliau mengetahui punca dan sebab filem-filem ringan seperti Hantu Bonceng terus dihasilkan dalam industri filem tempatan?

“Adakah beliau tahu realiti sebenar dan kesukaran penggiat seni sehingga memaksa kami mengeluarkan filem-filem ringan yang mudah dijual dan diterima, sekali gus menjana pendapatan industri?” katanya.
Justeru itu, Ahmad Idham berkata adalah tidak wajar komen sedemikian dikeluarkan oleh KJ kerana ia seolah-olah memperkecilkan usahanya untuk mengembangkan industri filem tempatan biarpun berhadapan dengan pelbagai kekangan.

“Saya tidak marah atau melenting tetapi terkejut kerana komen begitu keluar daripada pemimpin yang saya kagumi dan hormati.
“Saya tidak akan suka-suka buat filem ringan seperti Hantu Bonceng jika tiada sambutan. Sebagai penerbit, sudah tentu saya mahu terus berkarya dan menjana pendapatan daripadanya.
“Malah, kewujudan filem-filem ringan sebeginilah yang menggalakkan perkembangan industri filem yang kecil dan penuh kekangan selama ini,” katanya.

Terbaru, pemilik syarikat produksi Excellent Pictures Sdn Bhd itu kini sibuk menjalani latihan teater muzikal arahannya, Gerimis Mengundang.
Ia bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 27 Mac sehingga 8 April depan.

1 ulasan:

  1. “Malah, kewujudan filem-filem ringan sebeginilah yang menggalakkan perkembangan industri filem yang kecil dan penuh kekangan selama ini,”

    Kenyataan yg cukup jujur dr Ahmad Idham.

    BalasPadam