Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
mengecam sekeras-kerasnya kenyataan seorang perasmi Mesyuarat Agung
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Gopeng Jalan
Ilmu, yang berbau perkauman dan fitnah.
Mesyuarat
Agung PIBG SK Gopeng Jalan Ilmu diadakan pada 24hb Mac 2012 (Sabtu).
Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh Encik Abdul Rahim bin Haji Abdul
Karim, yang merupakan Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan Negara
(Negeri Perak).
Kenyataan berbau perkauman
Dalam ucapan perasmiannya, beliau telah mengeluarkan kenyataan yang membawa maksud sedemikian:
“Orang
Cina dan India dibawa masuk oleh penjajah British hanya sebagai
pekerja dan mereka tidak berhak menuntut apa-apa keistimewaan. Jangan
bermain dengan api dan jangan mencabar.”
KEADILAN
berasa amat kesal dengan kata-kata yang dilemparkan oleh Abdul Rahim
bin Haji Abdul Karim. Kenyataan yang melahirkan perasaan dengki
terhadap sesuatu kaum tidak harus wujud di dalam Negara kita yang majmuk
dan harmoni, apatah lagi dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung PIBG
sebuah sekolah kerajaan? Kata-kata seperti “jangan bermain dengan api
dan jangan mencabar” seolah-olah suatu ugutan kepada kaum Cina dan
India.
Kami
percaya pendirian ini bukan setakat pendirian individu Abdul Rahim
bin Abdul Karim tetapi pendirian kerajaan, memandangkan beliau memegang
jawatan dalam satu pertubuhan kerajaan yang penting, iaitu Majlis
Keselamatan Negara. Pandangan ini berasas sebab kenyataan-kenyataan yang
berbau hasutan ini telah berlaku banyak kali, dan kenyataan sebegini
pernah dikeluarkan oleh pegawai kanan kerajaan termasuk bekas Pegawai
Khas kepada Perdana Menteri sendiri, Datuk Nasir Safar.
Kenyataan politik yang penuh dengan tohmahan dan fitnah
Selain itu, Abdul Rahim bin Haji Abdul Karim juga menyentuh tentang isu-isu politik yang penuh dengan fitnah, antaranya:
a) Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah agen Amerika dan Yahudi.
b) DAP hendak menjadikan Malaysia sebuah Negara Kristian.
c) Sekiranya Pakatan Rakyat memerintah Negara, DAP akan menjadi Perdana Menteri dan PAS akan mengikut telunjuk DAP.
d) Ambiga membawa huru-hara kepada Negara, BERSIH 2.0 mengancam ketenteraman Negara.
e) Punca kemerosotan ekonomi adalah Pakatan Rakyat kerana mereka selalu adakan demonstrasi.
Kami
tidak berniat untuk berbalas hujah-hujah yang tidak masuk akal
tersebut, tetapi sekolah bukan satu medan untuk berpolitik. Sekolah
kerajaan dibiayai oleh wang rakyat, termasuk penyokong-penyokong Pakatan
Rakyat. Apakah motif pihak sekolah menjemput seorang perasmi yang
menyentuh tentang politik dan memburuk-burukkan pihak Pakatan Rakyat?
Ini bukan kali pertama sekolah tersebut menjemput orang politik untuk
program sekolah. Pada November 2011, sekolah ini telah menjemput Ketua
Bahagian UMNO Gopeng , Dato Hamzah bin Mohd Kasim, untuk memberi ucapan
dan menyampaikan wang RM100 (wang kerajaan) kepada pelajar.
Adakah Jabatan Pendidikan Negeri atau Kementerian Pendidikan merestui tindakan sedemikian?
Kami
difahamkan bahawa 5 laporan polis telah dibuat oleh ibubapa pelajar
sekolah yang menghadiri mesyuarat tersebut. Kami memandang berat
terhadap kes yang serius ini. Justeru itu, kami menuntut pihak yang
berkenaan agar:
1) Memecat Encik Abdul Rahim bin Haji Abdul Karim daripada jawatannya di Majlis Keselamatan Negara.
2)
Mengambil tindakan mahkamah terhadap Abdul Rahim bin Haji Abdul Karim
yang mengeluarkan kata-kata yang berunsur ugutan dan hasutan.
3)
Pihak sekolah harus meminta maaf kepada ibubapa pelajar secara
terbuka dan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang
bertanggungjawab menjemput perasmi itu.
4)
Menteri Pendidikan harus meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia
dan meletak jawatan dengan serta-merta kerana ini bukan kali pertama
perkara sedemikian berlaku di dalam sekolah kerajaan.
5)
Unit propaganda perkauman seperti Biro Tata Negara harus ditutup
dengan kadar segera supaya tiada minda kakitangan kerajaan akan diracuni
lagi.
YB CHANG LIH KANG
ADUN TEJA
MAJLIS PIMPINAN PUSAT KEADILAN
Blog Briged Al-Akhdor
Tiada ulasan:
Catat Ulasan