Kesal dengan tindakan MIC yang didakwa merampas tiga ekar tanah
Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (T) Effingham, badan bertindak Return
Effingham Land Action Team (Reflax) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru
(PIBG) sekolah itu pada Rabu menyerahkan memorandum kepada Perdana
Menteri di Parlimen.
Memorandum yang diserahkan kepada pegawai Jabatan Perdana Menteri
bagi menuntut satu dialog antara MIC bagi mendesak parti itu memulangkan
semula sebahagian daripada enam ekar tanah rizab pendidikan yang
sepatutnya milik sekolah itu di Bandar Utama, Petaling Jaya.
Difahamkan, lot 28814 seluas enam ekar dipecah dua kepada lot 50222
yang dimiliki Sekolah Effingham, manakala bakinya dirampas atas nama
Presidennya ketika itu, Samy Vellu untuk membina bangunan Ibu Pejabat
MIC.
Pengerusi Reflax G Manivanan berkata pihaknya telah pun mengemukakan
surat kepada Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel pada 22 Mac lalu namun
gagal mendapat respon.
"Sekolah Effingham hanya ada padang 75m, bilik guru yang sempit,
kantin yang kecil sehingga terpaksa adakan waktu rehat dua sesi, tiada
gelanggang sukan kerana kawasan sekolah tak cukup luas.
"Kita minta MIC tolong pulangkan semula tanah untuk masa depan
anak-anak kami," katanya dalam sidang media di Parlimen pada Rabu.
Katanya, pihaknya juga pernah mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) namun tiada sebarang tindakan dibuat.
Sementara itu, Ahli Parlimen Subang R Sivarasa berkata mengikut
peraturan kementerian pelajaran sekolah rendah sepatutnya mempunyai
keluasan sekurang-kurangnya enam ekar, manakala 9 ekar bagi sekolah
menengah.
"Kami sedia beli tanah yang diambil MIC dengan harga premium kerana
tanah ini sangat penting untuk penduduk mendapat pendidikan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan