JOHOR BAHRU - Johor perlu terus dipertahankan sebagai kubu kuat Barisan
Nasional (BN) dan Umno khasnya dalam pilihan raya umum akan datang bagi
membolehkan projek pembangunan yang sedang rancak dilakukan di negeri
ini terutamanya di kawasan Selatan Johor dapat diteruskan.
"Walau macam mana sekalipun kita tak boleh izinkan mereka
(pembangkang) mempengaruhi pengundi dalam kawasan kita baik di sini
atau kawasan lain. Jangan biar mereka terpengaruh," kata Timbalan
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau yakin negeri Johor di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Abdul
Ghani Othman telah mengalami banyak pembangunan dan penduduknya merasai
banyak nikmat.
"Apatah lagi dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini di Selatan
Johor, Iskandar Malaysia dan yang terbaru di Pengerang, berpuluh billion
ringgit (pelaburan) telah dicurahkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Himpunan Rakyat
Parlimen Pulai dan perasmian Pusat Kesihatan Percuma Anggota Parlimen
Pulai di sini hari ini yang dihadiri hampir 5,000 penduduk setempat.
Muhyiddin berkata hasil pembangunan pesat yang dilakukan oleh kerajaan
BN juga, banyak lebuh raya baru dibina untuk kemudahan rakyat selain
peningkatan harga dalam sektor hartanah dan aset bangunan.
Sehubungan itu, beliau meminta rakyat agar tidak merencatkan
pembangunan yang sedang rancak dilakukan itu dengan terpengaruh oleh
janji kosong pembangkang.
"Kalau semua tersedia dengan elok, jangan buang begitu sahaja. Jangan
tinggalkan perancangan yang baik yang disusun BN hanya kerana
terpengaruh dengan cerita orang lain yang tidak mungkin akan terhasil.
"Mereka hanya mempunyai cita-cita politik dan tidak ikhlas untuk membela nasib rakyat jelata di negara ini," katanya.
Sementara itu dalam majlis tersebut, Muhyiddin turut mengumumkan
peruntukan awal sebanyak RM50 juta melalui Kementerian Perumahan dan
Kerajaan Tempatan untuk projek pembinaan 1,400 perumahan rakyat bagi
penduduk Skudai Kiri selain peruntukan RM3 juta untuk pembangunan
kawasan itu. - Bernama
Memang nampak jelas menteri ni panik sebab semua rakyat terutamanya orang Melayu telah mula sedar akan penipuan yang UMNOngok lakukan selama ini.
BalasPadam