PAS mempertikaikan tindakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Datuk
Seri Ismail Sabri Yaacob yang mengarahkan empat pengarah jabatan
Koperasi Negeri bertukar tempat kerja dua hari selepas kegagalan
himpunan Hari Koperasi Negara.
Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz
Omar berkata, isu pertukaran pengarah negeri terbabit mula diperkatakan
apabila mereka diarahkan dalam tempoh yang singkat dan mengejutkan.
"Ini
mula dipersoalkan banyak pihak atas tindakan Ismail Sabri kerana
pertukaran itu dibuat dua hari selepas himpunan Hari Koperasi Negara,"
katanya kepada wartawan.
Keempat-empat pengarah terbabit
masing-masing dari negeri Pahang, Terengganu, Negeri Sembilan dan Kedah
telah menerima surat pertukaran dua hari selepas hari perhimpunan itu
diadakan pada 14 Julai lalu.
Malah dakwanya, tindakan itu diambil selepas Hari Himpunan Koperasi Malaysia gagal untuk himpunkan sejumlah 100,000 orang.
"Target
tidak sampai, sehingga keadaan majlis yang berjalan sangat
mengecewakan, Perdana Menteri terpaksa mententeramkan audien bagi
memberi peluang beliau berucap.
"Malah ditengah-tengah ucapan PM
pula, ramai audien mula keluar stadium, nampak satu yang tidak kena
terhadap penganjuran," katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS.
Mahfuz
juga berkata, Ismail Sabri seharusnya menerima secara terbuka bahawa
orang ramai tidak berminat menghadiri himpunan tersebut bukannya dengan
mengenakan tindakan terhadap pegawai-pegawainya.
Mahfuz juga
menolak alasan yang diberikan Ismail bahawa pertukaran empat pegawai
terbabit adalah proses biasa iaitu penyusunan semula.
"Kalau penyusunan semula, sepatutnya empat pegawai terima surat dan dimaklumkan sebelum hari himpunan," katanya.
Bagaimanapun,
Mahfuz melahirkan rasa hairan dan mempersoalkan mengapa kementerian
terbabit mensasarkan kehadiran yang begitu besar dengan anggara
perbelanjaan mencecah RM9 juta.
"Apabila mahu meraikan dan
memberikan keselesaan dengan gambaran yang ramai kepada Perdana
Menteri, tetapi hakikat dan realiti tidak memberi apa-apa faedah malah
merugikan rakyat," katanya.
"Kita berbelanja sampai RM9 juta
hanya untuk mengembirakan PM, bagi saya ianya tidak patut berulang dalam
cara PM mengendalikan program untuk menyakinkan rakyat," tegasnya.
Beliau
percaya tumpuan Perdana Menteri pada himpunan besar untuk menunjukkan
kepada dunia bahawa beliau masih diterima rakyat secara umum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan