Majlis Fatwa Kebangsaan digesa bersidang dan bukannya berdasarkan
kenyataan peribadi satu dua mufti dan tidak membuat teguran kepada
Pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Saamah yang membuat kenyataan
bahawa mengundi DAP adalah haram kerana menolak pelaksanaan hukum Hudud.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar)
berkata ini kerana Umno dan MCA juga jelas menolak hukum hudud
sebagaimana yang disebut perdana menteri Datuk Seri Najib Razak pada 24
September 2011 yang lalu.
Katanya, PAS tetap menuntut Majlis
Fatwa segera bersidang bagi mengkaji keseluruhan kenyataan dari Abdullah
Samaah yang telah disiarkan oleh Utusan Malaysia minggu lepas.
“Sebenarnya
masih banyak kenyataan beliau yang jelas memperlekeh Rasulullah dalam
bentuk senda gurau, sinis, dan melampau yang boleh dilihat dalam
pelbagai blog.
"Majlis Fatwa haruslah menggunakan pembaris yang
sama untuk menilai semua isu secara objektif. Haram sama sekali untuk
menggunakan pembaris yang tidak sama untuk Umno dan pihak yang lain,”
tegas beliau.
Dari sudut penolakan hukum Hudud, Tuan Ibrahim
berkata penolakan Umno sebenarnya jauh lebih besar kesalahan kerana
mereka mempunyai kuasa pemerintahan bagi melaksanakan hukum tersebut,
berbanding DAP yang menolak dalam keadaan tiada sebarang mandat untuk
melaksanakannya.
Apa yang mendukacitakan, tegas Pesuruhjaya PAS
Pahang itu ialah kegagalan Harussani melihat dan memahami secara dekat
alasan DAP yang menolak hudud atas alasan bercanggah dengan perlembagaan
negara dan bukan atas faktor lain.
“Maka faktor ini perlu
diperbetulkan dengan prinsip Islam. Kerana faktor penolakan seseorang
terhadap bukan hudud juga mempengaruhi hukuman. Kerana itu, Allah
mengkategorikan golongan yang menolak ini sebagai fasiq, zalim dan
kafir.
"Kalau yang menolak itu bukan Islam, apakah kategori
mereka? Tentulah ianya diluar konteks ayat, kerana memang mereka tidak
beriman dengan wahyu Allah,” tegas beliau.
Persoalan utama ialah
bagaimana pula orang Islam yang menolak hukum Allah? Bagaimana kalau
mereka rakyat biasa, yang jahil, yang mempunyai kuasa, yang alim tetapi
degil, dan yang anti kepada hukum Allah? Tentulah hukum antara mereka
gidak sama, tegasnya.
Kata Tuan Ibrahim, tiada yang perlu
dipelikkan untuk DAP dan sebilangan rakyat bukan Islam menolak hukum
Hudud setelah Umno-BN sendiri merosakkan imej Islam untuk 5 dekad
lamanya.
Akan tetapi, penolakan hukum Hudud oleh DAP sering
diperbesarkan di media pro-BN, manakala penolakan MCA dan Umno
disorokkan, kata beliau adalah semata-mata untuk menyerang PAS, yang
Umno tahu lawan terbesarnya di medan politik pada PRU-13.
“DAP
menang, Umno tak semestinya tumbang. PAS menang, maka sudah pasti Umno
akan tumbang bersama BN. MCA tidak boleh diselamatkan lagi maka Umno
mengambil keputusan demi survival politik untuk meregangkan lagi
hubungan antara kaum untuk menjaga undi Melayu-Islam dalam taktik
politik terbarunya.
"Umat Islam diharap dalam membuka mata jelas
dalam isu ini – munafik dan hipokrit sebenarnya adalah ancaman terbesar
kepada Islam,” tegas beliau.
Harussani tau bebenar apa yang dia ungkapkan tidak selari dgn ilmu yg Allah pinjamkan kpdnya, tetapi kilauan duniawi lebih memukaukan. Kesian...moga2 cepat bertaubat.
BalasPadam