Selasa, 9 April 2013

240 000 Undi Telah Berada Dalam Genggaman BN..??

Apa akan jadi dengan 240,000 kertas undi kakitangan kerajaan apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mewajibkan mereka mendaftar sebagai pengundi pos pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Keresahan ini timbul apabila undi pos sering dihantui isu manipulasi dan ketelusan tambahan pula ia lebih mudah dikesan dan memberi ‘risiko’ kepada pengundi berkenaan.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching, berkata perkara itu dimaklumkan seorang guru yang menghadiri taklimat SPR yang diadakan di Bangi, 7 Januari lalu.

“Kakitangan yang menjadi petugas pilihan raya kini wajib menjadi pengundi pos. Perkara itu menimbulkan keraguan sebab pada PRU 2008, mereka dibenarkan keluar mengundi di kawasan masing-masing.

“Mereka juga boleh keluar makan dan menunaikan sembahyang bagi petugas beragama Islam,” ujar Teo pada satu sidang media.

Penyandang Parlimen Serdang itu menggesa SPR membenarkan petugasnya untuk mengundi lebih awal kerana ia lebih dipercayai dan boleh dipantau ejen parti politik.

“Kita harap SPR dapat mendengar dan prihatin dengan keresahan yang timbul itu,” kata beliau.

Satu daripada tuntutan Pakatan Rakyat (PR) dan Bersih untuk pilihan raya yang adil, bersih dan telus adalah pemansuhan undi pos.

Antara manipulasi dan penipuan yang boleh berlaku dalam undi pos ialah kerana pengundi mempunyai risiko untuk diugut dan pertindihan nama yang mana pengundi boleh mengundi secara pos dan pada masa yang sama boleh mengundi seperti biasa.

1 ulasan:

  1. Asyik cakap saja..dari dulu hingga kini dan selama lama nya...benda tue dah lama ada...tindakan apa yg telah di ambil dan apa kesan yg telah mengubah nya??

    BalasPadam