Sebuah rumah teres yang dihuni dua pegawai dari Ibu Pejabat Polis
Daerah Klang Utara di Jalan Imam Abdul Aziz, Klang dekat sini dibakar,
dipercayai kerana dendam, dalam satu kejadian awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Mohd Shukor Sulong berkata
kejadian itu disedari pegawainya yang berpangkat Sub Inspektor dan Lans
Koperal apabila kedua-duanya terdengar bunyi letupan di perkarangan
rumah mereka kira-kira pukul 3 pagi.(Gmbr Hiasan)
“Ketika kejadian, anggota saya sedang tidur dan bergegas keluar (dari
bilik tidur) apabila terdengar bunyi letupan kuat di luar rumah.
“Mereka kemudian bertindak keluar dari rumah apabila melihat pintu
depan rumah mereka dijilat api dan terkejut apabila empat tayar kereta
Toyota Unser dan bonet belakang Proton Saga milik mereka yang diparkir
di depan rumah turut dijilat api,” katanya di sini.
Beliau berkata bagaimanapun kebakaran itu dapat dipadamkan sepenuhnya
setengah jam kemudian oleh mangsa menggunakan air dari pili air di
laman rumah itu.
“Polis tidak menolak kejadian ini berunsur dendam kerana pemeriksaan
di lokasi kejadian turut menemui beberapa botol plastik yang mempunyai
kesan minyak yang kita percaya digunakan dalam kejadian ini,” katanya.
Shukor berkata rakaman kamera litar tertutup yang dipasang di rumah
jiran mangsa turut menunjukkan kelibat dua lelaki melakukan perbuatan
itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan