Jumaat, 19 April 2013

Arahan "Gila" Kepada Guru...


KOTA BHARU: Setiap sekolah di kawasan parlimen Kota Bharu diarah menghantar sekurang-kurang 10 guru bagi mengiringi calon BN pada penamaan calon esok.

Difahamkan arahan lisan daripada Pejabat Pelajaran Daerah Kota Bharu diterima supaya setiap sekolah memberi sokongan kepada calon BN.

Beberapa guru mendakwa arahan itu dibuat tanpa surat bagi membantu calon BN di Dun Bunut Payong, bekas pegawai di PPD terbabit, Mohd Fakhurazi Abdul Rahim.

Kata mereka ada sekolah diarah meminta guru-guru memakai baju berwarna merah ketika datang pada perarakan calon BN.

“Kami guru-guru dipaksa mengambil tugas ketua cawangan Umno kebelakangan ini. Kalau dahulu hanya guru Kafa yang sering menjadi alat politik.

“Sekarang guru agama dan JQAF pula menjadi mangsa. Setiap sekolah ada guru dilantik sebagai penghubung dengan calon BN,” katanya di sini.

Seorang lagi guru berkata, dua minggu lepas semua guru agama yang mengajar di kawasan parlimen Kota Bharu diarah hadir pada perjumpaan dengan Ketua Bahagian Umno, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh di bangunan Umno.

Katanya, guru-guru yang hadir diminta menandatangani kedatangan pada program yang diadakan pada hari Sabtu.

Menurutnya sehingga sekarang lebih 10 kali guru-guru dikerah hadir pada program Umno bagi mendengar amanat disampaikan pemimpin Umno.

Lebih setahun lalu Harakah membongkar sindiket memindahkan tempat mengundi guru-guru Kafa yang mengajar di sekitar parlimen Kota Bharu ke Dun Bunut Payong.

“Calon BN di Bunut Payong sepenuhnya bergantung harap dengan pengundi dalam kalangan guru. Dengan memaksa guru-guru hadir pada program Umno pemimpin itu bermimpi dia mendapat sokongan ramai,” katanya.

Bekas guru Kafa pula memberitahu beliau dan rakan-rakan sering menjadi mangsa apabila dikerah hadir pada setiap program anjuran Umno.

Difahamkan juga sekolah di kawasan parlimen Kota Bharu diarah mengadakan jamuan dengan menjemput penduduk sekitar datang mendengar ucapan pemimpin Umno.

Seorang bapa mendakwa pada program jamuan yang dihadiri pemimpin Umno di sebuah sekolah di sini baru-baru ini tidak ramai penduduk tempatan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan