Jumaat, 19 April 2013

Ini Bukan Calon "Boleh Menang" Tapi Calon "Bunuh Diri" - Ahmad Lutfi


Sehingga 16 April lalu, bilik gerakan Umno (BN) di hadapan rumah saya, di Bukit Ampang, dalam kawasan Dun Lembah Jaya, Selangor masih belum dibuka.

Seperti lazimnya, kebanyakan pusat kempen BN hanya akan beroperasi selepas nama calon diisytihar. Namun begitu, selepas diumumkan, tidak semestinya bilik gerakan BN automatik dibuka; biasanya ada juga yang tertangguh disebabkan "merajuk" kerana calon idaman tidak terpilih, seterusnya menunggu "tawaran" untuk meredakannya.

Saya tidak begitu berminat untuk mengulas soal konflik dalaman Umno-BN atau meneropong kumpulan mana (termasuk klik Dr Mahathir Mohamad) yang paling berjaya mengetengahkan calon pilihan masing-masing. Walaupun lebih ramai mungkin teruja untuk membaca analisis siapa pemenang awal, dalam konteks saingan dalam Umno, saya suka melihatnya daripada perspektif lebih luas.

Media (pastinya semua akhbar utama dan siaran TV akan menjadi lidah propaganda BN) cuba menonjolkan, pada PRU13 ini, gabungan parti itu mempertaruhkan sebanyak 33 peratus muka baru bagi kerusi Parlimen dan  49 peratus lagi di peringkat Dun.

Penampilan muka-muka baru itu, termasuk percubaan Timbalan Presiden Perkasa, Zulkifli Noordin di Shah Alam, bukan saja dianggap calon boleh menang bagi BN tetapi dilabelkan sebagai "calon transformasi", seperti dihasratkan Pengerusinya, Najib Razak.

SMS seorang rakan saya, pada petang Selasa lepas, menyedarkan bahawa pemilihan calon BN khususnya di Selangor, tentunya ditapis sendiri oleh Ketua Umno Negeri, Najib, agak menarik untuk disorot. Negeri termaju ini, melalui apa juga taktik dan pendekatan, menjadi sasaran utama untuk ditawan kembali Najib.


"Ini bukan calon boleh menang, ada calon bunuh diri," catat rakan saya itu.  "Misalnya calon BN di Ampang dan Gombak bukan saja dikitar semula tetapi mempunyai masalah peribadi yang serius. Apabila Ong Tee Keat digugurkan di Pandan, atas permintaan Dr Chua Soi Lek, laluan Rafizi Ramli menjadi lebih mudah."

Opps, saya sendiri sudah terlajak. Tunggu analisis keluaran akan datang. (Cuma saya pelik mengapa Najib tidak berani mengumumkan calon MB Selangor jika menang PRU13, hanya atas alasan takut memberi tekanan. Rakan saya, bekas Adun Umno, menyebut tiga nama, Samsudin Lias, Subahan Kamal dan Bushro Mat Johor ... entahlah).

Mesej penting yang cuba disampaikan Najib ialah sikap responsif BN terhadap gema tuntutan "perubahan", tidak jauh beda dengan slogan Pakatan Rakyat sendiri. Baru-baru ini, melalui pelancaran Manifesto BN, juga telah dikenal pasti hanya 14 peratus tawaran dikemukakan Najib merupakan idea baru. Banyak cadangan Pakatan diciplak bulat-bulat.

Begitu juga dengan idea "perubahan" yang cuba diserapkan Najib melalui calon muka-muka baru. Desakan dan tekanan akar umbi untuk menyaksikan perubahan -- sama ada atas nama reformasi, islah ataupun transformasi -- begitu ketara.

Dan media talibarut BN akan cuba meyakinkan rakyat bahawa pentadbiran Najib sedang berusaha untuk merealisasikan tuntutan perubahan itu, dimulai dengan penampilan calon-calon baru, sesetengahnya lebih muda walaupun masih ramai yang terpilih itu, seperti pernah digambarkan A Kadir Jasin sebagai "panglima perang, kayu reput dan kayu hanyut, paku karat dan paku longgar".

Soalnya, apakah percubaan muka-muka baru itu menandakan BN benar-benar serius mahu  melonjakkan Malaysia ke ambang pembaharuan, yang dapat membawa manfaat dan kesejahteraan buat rakyat atau sekadar menampilkan imej palsu bagi mengelirukan orang ramai, khususnya pengundi baru.

Siapa sebenarnya yang menghalang perubahan selama ini, malah berlaku curang, korup, salahguna kuasa, membazir dan meminggirkan kepentingan rakyat? Apakah wakil rakyat yang tidak banyak mempunyai kuasa eksekutif ataupun jemaah menteri yang diterajui perdana menteri, juga barisan exco kerajaan negeri yang dipimpin menteri besar dan ketua menteri?

Sila semak "akujanji" BN dalam manifestonya tentang komitmen membanteras rasuah, menghalang ketirisan, mengamalkan keterbukaan seperti tender terbuka dan memberhentikan monopoli.

Perhatikan juga sikap perkauman melampau, yang mempertaruhkan keharmonian masyarakat berbilang kaum, sering melakukan provokasi agama berbahaya, semata-mata untuk mempertahankan saki-baki kuasa; apakah BN prihatin dengan gejala yang boleh "membunuh" itu?

Bukankah Najib sendiri pernah berucap di hadapan perwakilan Umno, membayangkan kekeliruannya terhadap amalan jijik rasuah yang sudah menjadi budaya? "Kalau bagi (rasuah), salah tapi kalau kita tidak bagi, kalah."

Bukankah mentor Najib, iaitu Dr Mahathir sendiri berulang kali berkempen di seluruh negara, atas satu tema besar -- perubahan tidak semestinya membawa kebaikan. Dengan menunjukkan contoh negara Timur Tengah yang dilanda "Arab Spring", rakyat ditakut-takutkan untuk melakukan perubahan

Bagaimana dengan penguasaan berterusan, malah dalam tempoh yang cukup lama, seperti Taib Mahmud di Sarawak, tokoh yang sarat dengan bebanan tuduhan salahguna kuasa, memeras rakyat dan mengaut semahunya khazanah alam?

Dan, usah lupa Najib sendiri, yang dikira "bapa transformasi" tetapi masih terpalit dengan seribu satu amalan kecurangan. Lihat saja perjalanan pilihan raya yang penuh ketempangan dan penipuan.
Rasuah terbesar ialah amalan membeli undi dan menyalahgunakan kemudahan kerajaan semasa pilihan raya sehingga menghalang penggiliran parti pemerintah.

Saya kira pengundi tidak mudah tersilau dengan slogan "perubahan" BN melalui muka-muka baru calon PRU13 itu. Elit politik Umno masih kekal sama, mengakar dan penentu polisi kerajaan jika BN kekal memerintah.
Naib Presiden PAS, Husam Musa memberi reaksi menarik terhadap pengumuman calon-calon BN: "Najib lakukan perubahan sebagai 'reverse psikologi' dengan menampilkan muka baru agar rakyat berfikir semula tidak perlu tukar kerajaan kerana Umno telah menukar calonnya."

Husam yang bakal bertanding di Putrajaya merumuskan,  "meskipun mereka ini adalah muka baru, namum mereka juga mengekalkan sifat Umno-BN sebelum ini."

Cukuplah. Tempoh 57 tahun sudah lebih daripada cukup untuk eksperimen perubahan. Sebenarnya kita yang begitu lama tertangguh untuk menggerakkan misi perubahan ini!



1 ulasan:

  1. Dulu undi pr apa pun tak dapat. At least BN ada BRIM

    BalasPadam