Biarkan sahaja Umno memerintah dengan sombong sendirian pasca PRU13
kerana kelak rakyat akan menghukum pula mereka dengan tsunami baru yang
jauh lebih ganas di mana Gerakan dan MCA mungkin akhirnya akan mengubah arah dengan penglibatan semua kaum.
Demikian kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd
Nor dalam kenyataan kepada Harakahdaily sebagai respons kepada
pengumuman Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu dan Setiausaha Agungnya,
Teng Chang Yeow meletakkan jawatan minggu depan ekoran prestasi terburuk
mereka dalam PRU13.
Sebelum ini Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang didesak
kuat oleh akar umbi MCA untuk meletak jawatan juga akan berundur seawal
Jun tahun ini.
“Ini bererti kedua-dua presiden parti tersebut akur dengan tekanan dan desakan ahli parti masing-masing,” ujarnya.
Menurutnya, Presiden Gerakan dan MCA cepat menghidu arus politik
negara dengan mengundurkan diri kerana bagi mereka, lebih baik berundur
diri secara terhormat daripada diundurkan oleh ahli dan rakyat secara
paksa.
Sepatutnya, ujar beliau Presiden UMNO belajar dari politik matang seperti ini daripada kedua-dua pemimpin parti komponennya.
Tambahnya, mengambil tanggungjawab, memuhasabah diri serta berundur
adalah langkah bijak daripada sibuk menyalahkan komuniti lain atas
kegagalan sendiri.
Bagi Riduan, MCA dan Gerakan melihat kepada realiti bahawa trend
rakyat sekarang memilih parti yang berasaskan kepada keadilan sosial
lebih daripada parti yang berteraskan kepada kaum tertentu semata-mata.
Bagi rakyat Malaysia, tambah beliau sebenarnya perjuangan berteraskan
bangsa sudah ketinggalan dan dilupakan, malahan rakyat membenci
perjuangan sempit perkauman yang akhirnya akan menjarakkan jurang antara
kaum di negara ini.
Bagi rakyat, katanya perjuangan tersebut adalah sia-sia kerana negara
ini berkongsi hidup antara setiap kaum kerana setiap kaum saling perlu
memerlukan dan pembelaan sewajarnya daripada pemerintah.
Justeru, ujar Riduan lagi Gerakan dan MCA harus belajar dari kesilapan dengan menukar dasar perjuangan mereka.
“Sudah tentu yang paling mudah adalah dengan beralih arah kepada
Pakatan Rakyat melalui DAP yang sekarang mendapat sambutan baik daripada
rakyat,” ujarnya lagi.
Kata beliau, kekuatan mereka akan lebih terserlah dengan gabungan
ketiga-tiga parti bagi membentuk Pakatan Rakyat bersama PKR dan PAS.
“Dengan peralihan kepada PR akan memudahkan perjuangan mereka
diterima oleh masyarakat, asal sahaja agenda perjuangan mereka tidak
hanya berteraskan sesuatu bangsa sahaja,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan