Khamis, 16 Mei 2013
Terkejut Dilantik Timb. Menteri...
Pengerusi Barisan Bertindak Hak Penganut Hindu (Hindraf) P. Waythamoorthy berkata beliau hanya tahu mengenai pelantikannya sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri selepas dimaklumkan rakannya.
Beliau yang kini berada di Chennai, India ketika dihubungi Bernama berkata rakan beliau menelefonnya selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan barisan Kabinet baharu 2013 hari ini.
"Perkara itu (pelantikan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri) dimaklumkan oleh rakan saya melalui telefon. Saya kini berada di India, bila kembali nanti saya akan buat sidang media," katanya.
Beliau enggan mengulas berhubung pelantikan itu ketika ini dan sekadar berkata komennya akan dibuat setelah kembali ke tanah air kelak.
Beliau dijangka kembali ke tanah air Sabtu ini.
Waythamoorthy merupakan pemimpin masyarakat India dari badan bukan kerajaan yang pertama dilantik sebagai timbalan menteri.
Pada 18 April lalu, organisasi itu menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang digelar Pelan Tindakan Lima Tahun Hindraf-BN Untuk Masyarakat India bersama Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan, yang turut disaksikan Najib.
Hindraf diharamkan pada 15 Okt 2008 oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar di bawah pentadbiran Datuk Seri (sekarang Tun) Abdullah Ahmad Badawi.
Kerajaan pada masa itu menyifatkan Hindraf sebagai ancaman kepada ketenteraman awam, keselamatan dan kedaulatan negara serta keharmonian kaum selepas menganjurkan protes besar-besaran di Kuala Lumpur pada 25 Nov 2007 bagi memperjuangkan nasib masyarakat India yang didakwa terpinggir di negara ini.
Bagaimanapun pada awal tahun ini, kerajaan menarik semula pengharaman tersebut, malah berganding bahu bagi bersama-sama badan bukan kerajaan itu untuk menyelesaikan masalah kaum India.
Pemimpin India yang turut sama dalam Kabinet baharu 2013 ialah Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel yang dilantik sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar; timbalannya Datuk Seri Dr S. Subramaniam sebagai Menteri Kesihatan; naib presiden Datuk M.Saravanan sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan, dan Penyelaras Nasional bagi pergerakan Putera, P. Kamalanathan sebagai Timbalan Menteri Pelajaran II.
Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP) Pulau Pinang Datuk Dr J. Loga Bala Mohan, yang akan dilantik sebagai Senator, dipilih sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan