Menteri
Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim (gambar) mengesahkan, agihan kerusi
Exco untuk Selangor adalah PAS 4, PKR 3 dan DAP 3.
Beliau mengesahkan perkara ini melalui twitternya malam tadi.
"Agihan
kerusi Exco: PAS 4, PKR 3 dan DAP 3. Senarai nama dihantar kepada
Tuanku DYMM Sultan Selangor pada Jumaat lepas," tulis Khalid dalam
Twitternya.
Semalam Harakahdaily menyiarkan berita PAS Selangor
telah menghantar empat nama untuk dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri
Selangor.
Pesuruhjaya PAS negeri, Dr Abdul Rani Osman berharap
keempat-empat nama yang dikemukakan itu dipilih sebagai Exco Kerajaan
Negeri Selangor penggal kedua ini.
Namun beliau enggan untuk mengesahkan senarai empat wakil rakyat PAS itu untuk mengelakkan adanya perkara sebalinya berlaku.
"Kita
kemukakan empat nama, dan tidak semestinya keempat-empat itu terpilih
menjadi exco. Dan kemungkinan juga satu nama untuk jawatan Speaker dan
tiga lagi untuk exco. Ianya terserah dan terpulang kepada Sultan,"
katanya ketika menghubungi Harakahdaily.
Khalid mengangkat sumpah
sebagai Menteri Besar untuk penggal kedua pada 14 Mei lalu turut
mengumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dikekalkan sebagai Penasihat
Ekonomi Selangor.
“Pengalaman beliau dijangka terus main peranan penting dalam pentadbiran negeri,” ujarnya.
Sehingga
semalam, hanya DAP sahaja yang mengesahkan Adun Sungai Pinang dan Seri
Kembangan, Teng Chang Khim dan Ean Yong Hian Wah mewakili parti itu
sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor.
DAP dijangka akan mengekalkan kerusi Speaker kerana parti itu juga menang jumlah bilangan kerusi DUN yang sama dengan PAS.
Jika
ini berlaku bermakna ketiga-tiga parti Pakatan mendapat ekuiti yang
sama dalam kerajaan negeri Selangor dengan PKR mendapat kerusi MB
manakala DAP mendapat kerusi Speaker Dewan Undangan Negeri.
Pada PRU13, DAP dan PAS masing-masing memenangi 15 kerusi Dun sementara PKR pula 14.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan