Ini Sebabnya Azmin Dan Dr. Rani Tidak Dilantik Sebagai Exco...
Faktor
masa dan tumpuan yang perlu diberikan kepada parti menjadi sebab dua
pemimpin utama PAS dan PKR Selangor tidak dilantik menjadi exco negeri,
kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
"Pemilihan (exco) adalah berdasarkan kapasiti dan masa.
"Seorang exco akan menghabiskan banyak masa untuk melaksanakan program negeri," kata Khalid petang tadi.
Beliau menjawab soalan mengapa Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani
Osman dan pengerusi PKR Selangor, Azmin Ali tidak dilantik menjadi exco
kerajaan negeri.
Jelasnya lagi, nama mereka dicalonkan parti
masing-masing, namun tidak meletakkan nama mereka sebagai calon-calon
utama untuk dipertimbangkan.
"Mereka dicalonkan tetapi
diletakkan pada keutamaan yang rendah dari segi kesediaan untuk
menghabiskan masa yang banyak sebagai exco.
"Kebanyakan masa
mereka mungkin akan ditumpukan kepada aktiviti politik untuk
mempromosikan parti berbanding menghabiskan masa untuk program berkaitan
exco untuk negeri," katanya sambil menambah keputusan itu tiada kaitan
dengan faktor kebolehan Azmin dan Rani.
Exco Selangor yang
mengangkat sumpah Khamis lalu diwakili empat orang daripada PKR, dan
tiga orang masing-masing daripada PAS dan DAP.
Menurut Khalid,
isu DAP perlu diberikan pengiktirafan dalam bentuk lain kerana
menyumbangkan 15 kerusi dalam pilihan raya lalu tetapi diberikan hanya
tiga kerusi exco, tidak timbul sama sekali.
"Dilantik menjadi exco adalah satu bentuk pengiktirafan (kerana) kita semua bekerja sebagai satu pasukan.
"Itu yang kita amalkan pada penggal lalu dan semua berpeluang untuk memberikan sumbangan sebagai satu pasukan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Khalid menjelaskan Setiausaha Agung PKR, Datuk
Saifuddin Nasution Ismail dilantik sebagai pegawai perantara politik
Selangor kerana beliau mempunyai masa dan keupayaan bagi melaksanakan
tugas itu.
Tambahnya, beliau bersedia mempertimbang cadangan Dr
Rani sebelum ini yang mahukan seorang wakil dari PAS dan DAP dilantik
ke jawatan yang sama.
"Kalau ada mereka dari DAP atau PAS yang mempunyai keupayaan seperti beliau, itu juga kita akan ambil timbangkan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan