Isnin, 3 Jun 2013

PKR Persoalkan Tindakan MB Selangor...

PKR Selangor mempersoalkan tindakan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung pelantikan Datuk Saifuddin Nasution Ismail (gambar) sebagai pegawai perhubungan politik tanpa berbincang terlebih dahulu dengan Majlis Pimpinan Negeri (MPN).
Menurut Ketua Penerangan PKR Selangor Shuhaimi Shafiei MPN mahu tahu terlebih dahulu mengenai skop jawatan kerja itu dan mengapa orang politik seperti Saifuddin boleh dilantik memegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

“MPN Selangor akan meminta penjelasan lanjut daripada Tan Sri Abdul Khalid kerana timbul pertanyaan mengapa pula Setiausaha Agung PKR selaku ahli politik boleh dilantik ke dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor,” kata Shuhaimi dipetik dari akhbar harian berbahasa Melayu Sinar Harian merujuk kepada pelantikan Saifuddin oleh menteri

“Manakala saranan MPN Selangor di Kongres ke-9 PKR di disanggah tidak mahu pentadbiran kerajaan negeri melibatkan orang politik,” tambah beliau lagi.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Muda itu, semua posisi penting yang berada di pentadbiran kerajaan negeri mahupun kerajaan tempatan terdiri dari menteri besar, Exco dan ahli majlis merupakan orang politik dan bagaimana pula tafsiran tidak mahu orang politik berada dalam kerajaan dapat dipenuhi atau diabaikan.

“PKR Selangor bertegas saranan pemantapan organisasi melibatkan ahli Pakatan Rakyat (PR) berkelayakan perlu dilakukan dan menyokong apa juga usaha pemantapan secara menyeluruh perlu segera dilaksanakan bermula di pejabat MB, Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), pihak berkuasa tempat (PBT) dan seterusnya GLC lain,” katanya.

Sebelum ini berlaku perdebatan mengenai sama ada boleh atau tidak ahli-ahli parti komponen PR dilantik ke dalam GLC Selangor.

Dalam ucapan semasa kongres nasional ke 9 PKR, Abdul Khalid mengakui kelemahan tidak bijak dalam berpolitik, justeru mengumumkan penubuhan satu “political liaison” di pejabat menteri besar.

Walaupun Abdul Khalid dilantik sebagai menteri besar untuk penggal kedua, kontroversi tercetus apabila Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali difahamkan turut mahukan jawatan itu.

Menteri besar Selangor itu berkata penubuhan “political liaison” akan mengendalikan hal ehwal politik dalam negeri dan mereka yang dilantik akan terdiri daripada individu yang pakar dalam lapangan tersebut.

Dalam majlis sama, Ketua Umum PKR Anwar dalam ucapan penutupnya mengumumkan Saifuddin akan diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan “political liaison” yang bakal ditubuhkan dalam masa terdekat.

Berhubung dengan pengumuman Abdul Khalid itu, media melaporkan PAS juga mahukan pimpinan pusat mereka turut dilantik di jawatan sama kerana Selangor bukanlah negeri PKR semata-mata.

Dalam Pilihan Raya 2013, PR memenangi 44 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, meningkat daripada 36 kerusi yang diperoleh pada 2008.

PKR menang 14 kerusi berbanding DAP dan PAS yang masing-masing memperoleh 15 kerusi. Barisan Nasional (BN) pula memenangi 12 kerusi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan