Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis pada
Selasa berjaya mengesan dan menahan seorang pengguna Facebook yang
bertindak biadab terhadap ucapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul
Halim Mu'adzam Shah menerusi laman sosial itu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan SKMM, suspek yang merupakan seorang wanita ditahan untuk membantu siasatan.
"Dia dipercayai menyembunyikan diri setelah beberapa laman blog
menyebarkan identitinya. SKMM juga memohon rakan-rakan suspek turut
tampil ke hadapan bagi membantu siasatan lanjut," menurut kenyataan itu.
Wanita berkenaan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Suspek juga boleh didakwa dibawah Akta Hasutan 1948.
Baru-baru ini sekumpulan pengguna Facebook bertindak biadab menerusi
laman sosial itu sewaktu Yang di-Pertuan Agong menyampaikan titah ucapan
sempena ulang tahun keputeraan rasmi Seri Paduka yang disiarkan secara
langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Dalam titah ucapan itu, Seri Paduka mahu rakyat negara ini akur
dengan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 yang telah ditentukan mereka
sendiri.
Titah Seri Paduka itu dipersendakan oleh seorang pengguna Facebook seperti yang didedahkan oleh laman blog 'Whats Up Brades'.
Blog itu turut menyentuh secara khusus kata-kata biadab yang dilemparkan oleh pengguna laman sosial terbabit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan