Ribut: Menara antena atas bangunan Umno tumbang
[MK] Ribut melanda Pulau Pinang lewat petang ini dan menumbangkan menara
antena komunikasi di atas bumbung bangunan Umno negeri di Jalan
Macalister.
Struktur tersebut yang terletak di atas bumbung bangunan 23 tingkat itu, jatuh di atas jalan raya.
Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, pihak polis telah
dimaklumkan mengenai kejadian itu untuk segera mengambil langkah
keselamatan.
Dalam kenyataan audio kepada media, Lim berkata setakat yang diketahui,
hanya seorang yang cedera serius dan telah dihantar ke hospital.
Menurutnya, kira-kira tujuh buah kereta rosak dan beliau berharap tidak ada lagi mangsa terlibat.
Lim menggesa Umno negeri supaya segera membuka bangunan itu supaya
tindakan segera yang boleh diambil untuk mengelakkan lebih bahagian
bumbung jatuh.
Sementara itu, Bernama melaporkan angin kencang dan hujan lebat yang
mengakibatkan tiang antena itu runtuh, telah mencederakan tujuh penguna
jalan raya, dua daripadanya parah.
Menurut jurucakap Balai Bomba Lebuh Pantai, tujuh kenderaan termasuk
sebuah lori muatan tong gas rosak dalam kejadian lewat petang ini.
Katanya pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.55 petang dan
sebuah jentera bersama tujuh anggota dihantar ke tempat kejadian.
Sementara itu, ketika dihubungi, Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Shaik
Hussein Mydin berkata, beliau dimaklumkan bahawa antena di atas bangunan
itu telah runtuh.
Beliau berharap tiada siapa yang cedera oleh kejadian itu.
Terdapat banyak pejabat di dalam bangunan itu dan pejabat Umno terletak di tingkat enam dan tujuh.
"Ia adalah satu kemalangan, satu bencana alam. Kami harap tiada siapa yang cedera," katanya.
Apabila diberitahu seseorang dipercayai cedera parah dan telah dihantar
ke hospital untuk rawatan, Shaik Hussein mendoakan agar beliau cepat
sembuhn.
"Kami akan menilai situasi dan melihat apa yang perlu dilakukan," katanya.
Sumber gambar pelbagai. Terima kasih kepada empunya gambar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan