Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan tindakan
kerajaan dalam menangani isu kontroversi fahaman Syiah lebih bersifat
politik.
Katanya, ajaran Syiah itu bukan perkara baru tetapi telah lama wujud sejak beberapa kurun dalam dunia Islam.
Menurutnya, kerajaan pula mengambil sikap bukan hendak menangani masalah ajaran Syiah tetapi hendak jadikan isu politik.
“Kerajaan
lebih bersikap untuk menjadikan isu politik, bukan suatu tindakan.
Sebenarnya, Syiah telah wujud sejak beberapa kurun dalam dunia Islam dan
bukan perkara baru.
“Seperti mazhab-mazhab lain juga dan kita tidak menafikan bahawa ajaran Syiah ini tidak sesuai diamalkan di Malaysia.
“Saya
nampak kerajaan bukan hendak tangani tetapi hendak jadi isu politik.
Sepatutnya, perbincangan antara mazhab ini hendaklah dilakukan di
kalangan ilmuan, ulama yang tahu dalam bidang dia dan bukan mereka yang
tak tahu hala bincang tentang mazhab ini,” ujarnya kepada Harakahdaily,
hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menjelaskan
bahawa berlaku perkembangan mazhab-mazhab dalam dunia Islam ini tidak
mudah hendak mengkafirkannya.
Ini kerana, kata beliau, dalam
mazhab Syiah tersebut ada yang terkeluar dari Islam dan ada yang masih
berpegang dengan ajaran Islam.
Menurutnya, jalan terbaik bagi
mencari penyelesaian dalam menangani isu kontroversi Syiah perlu kepada
perbincangan tertutup secara akademik dan ilmuan.
“Syiah yang
masih lagi dianggap seorang Islam yang dianuti di Iran, di Iraq dan
selatan Lubnan. Mereka dibenarkan menunai haji di Mekah kerana
ulama-ulama mengatakan mereka juga orang Islam.
“Mereka
bersembahyang dan mengerjakan haji tetapi banyak cara beribadat mereka
ini cara beribadat yang bercanggah dengan kajian-kajian ahli sunnah.
“Tetapi
untuk membetulkan keadaan ini perlukan kepada para ilmuan dan bukan
sewenang-wenang. Bahkan, ulama-ulama yang menulis pun dalam bidang ini
berbeza dengan ulama yang hidup dalam masyarakat yang ada Syiah.
“Jadi
hendak bincang hal Syiah kena ada orang akademik, perbincangan dalaman
dan kerajaan mesti bertindak secara ilmu dan bukan bertindak untuk
jadikan isu politik,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau
mengingatkan umat Islam di sebalik isu Syiah tersebut mempunyai agenda
kuasa besar barat terhadap kuasa nuklear di Iran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan