SANTA MONICA, California – Sekeping gambar dan berita tentang
penemuan bangkai seekor sotong gergasi sepanjang 48.76 meter di tepi
pantai Santa Monica, California yang disiarkan di laman web The Lightly
Braised Turnip telah didapati palsu, lapor akhbar The Epoch Times
semalam.
Artikel di The Lightly Braised Turnip pada Jumaat lalu menyatakan,
sotong tersebut menjadi besar disebabkan oleh kebocoran radioaktif ke
laut di daerah Futaba, Fukushima, Jepun.
Kebocoran itu berlaku disebabkan sebuah loji nuklear di Fukushima
mengalami kerosakan disebabkan tsunami yang tercetus akibat gempa bumi
kuat berskala 9.0 pada skala Richter pada 11 Mac 2011.
Artikel di laman web tersebut yang ditulis oleh Butch Witt
menyatakan, sotong tersebut kemudian hanyut ke pantai Amerika Syarikat.
Lebih 500,000 orang menghantar mesej dan melihat gambar tersebut di
laman rangkaian sosial Twitter selepas ia disiarkan di laman The
Lightly Braised Turnip.
Bagaimanapun, wartawan akhbar The Epoch Times, Zachary Stieber
mendapati berita dan gambar tersebut palsu selepas dia melakukan
penyiasatan.
Menurut Stieber, dalam artikel sotong di laman web itu, Pengarah
Taman Santa Monica, Cynthia Beard berkata, dia berhasrat untuk memotong
badan haiwan tersebut untuk dihantar ke Institut Penyelidikan Scripps
untuk tujuan penyelidikan.
Namun, wartawan yang melakukan penyiasatan itu kemudian mendapati tiada pengarah di taman tersebut yang bernama Cynthia Beard.
Berita palsu itu turut mendapat perhatian portal kajian saintifik yang terkenal iaitu National Geographic.
Menurut portal itu, seorang kakitangan laman web gosip, snopes.com
memandu kenderaan ke pantai tersebut dan melaporkan tiada tanda-tanda
kehadiran sotong gergasi itu.
Seorang penulis artikel di laman About.com yang memberikan pelbagai
maklumat tentang topik-topik menarik, David Emery berkata, gambar sotong
gergasi di akhbar The Lightly Braised Turnip itu sebenarnya sotong
gergasi sepanjang sembilan meter yang mati di sebuah pantai Sepanyol
pada Oktober 2013. – Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan