Ahad, 9 Februari 2014

Maut jam 2.20 Pagi...

Kuantan: Seorang penyelia sebuah syarikat kenderaan di Gebeng, dekat sini, sempat memberitahu dia disamun lelaki berpakaian seragam sebelum menghembuskan nafas terakhir dalam perjalanan mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, akibat ditikam tiga kali, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 2.20 pagi, Md Saipul Mizan Ibrahim, 33, dari Lorong Balok Sejahtera 12, Beserah, dekat sini, meninggal dunia selepas ditikam di mulut, dada dan bawah pusat.


Ketika kejadian, mangsa yang berada di kawasan parkir di tempat kerjanya berlari ke arah pondok pengawal untuk mendapatkan bantuan selepas ditikam penjenayah sebelum rebah dalam berlumuran darah di situ.
MANGSA rebah selepas ditikam lelaki berpakaian seragam.

Melihatkan kejadian itu, pengawal keselamatan yang bertugas menghubungi ambulans milik syarikat sebelum mangsa dikejarkan ke HTAA untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, ketika di dalam ambulans, mangsa sempat memaklumkan dia disamun penjenayah berpakaian seragam sebelum meninggal dunia.

Isteri mangsa, Nik Faizah Nik Fadzil, 26, berkata, dia tidak menyangka kejadian itu boleh menimpa suaminya, apatah lagi mereka baru pulang daripada bercuti sempena Tahun Baru Cina, baru-baru ini.

“Walaupun sedih dan terkejut, saya reda dengan ketentuan dan ini cabaran paling getir dalam hidup saya,” katanya yang tidak mempunyai cahaya mata.

Katanya, mangsa keluar dari rumah jam 6.30 petang kelmarin untuk masuk bekerja bermula jam 7 malam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Superintendan Mohd Haris Daud berkata, siasatan masih dilakukan dan sehingga kini belum ada tangkapan dibuat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan