KUALA LUMPUR - Hanya kerana wang berjumlah RM1,500 dan 220 kotak
rokok, nyawa seorang lelaki melayang setelah kepalanya dihentak dengan
batu oleh sekumpulan orang awam yang berang dengan tindakannya merompak
sebuah stesen minyak di Jalan Jambu Jerteh, Jinjang di sini kelmarin.
Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan,
sebelum kejadian pada kira-kira pukul 9.40 malam itu, mangsa bersama
seorang rakannya yang bersenjatakan sebilah parang telah pergi ke stesen
minyak tersebut dengan menaiki motosikal.
Ujarnya, mangsa telah masuk ke dalam premis berkenaan secara
berseorangan sebelum melarikan wang tunai RM1,500 serta 220 kotak rokok.
Rakan mangsa ketika itu sedang menunggunya di atas motosikal yang
diletakkan di seberang jalan iaitu kira-kira 200 meter dari premis
berkenaan.
"Cubaan mangsa untuk melarikan diri bagaimanapun disedari oleh orang
ramai yang berada di sekitar lokasi kejadian. Mereka kemudiannya telah
menghambat mangsa yang ketika itu sedang melintas jalan.
"Mangsa bagaimanapun berjaya dipintas orang awam sebelum dibelasah
bertubi-tubi termasuk dengan menggunakan batu. Melihat mangsa sedang
dipukul, rakannya telah melarikan diri dengan menunggang motosikal,"
ujarnya ketika dihubungi.
Mangsa maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kanan kepala dipercayai akibat dihentak dengan batu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan