Menurut Ketua Umum Pakatan Rakyat itu, beliau bimbang kejayaan SNAP memancing undi terutama di kawasan yang turut ditandingi PKR akan menyebabkan perpecahan undi di kalangan pembangkang dan seterusnya menggagalkan usaha menumbangkan BN.
Kebimbangan itu dibangkitkan Anwar yang juga Penasihat PKR pada hari kelima kempen pilihan raya Sarawak ke-10.
"Tentunya saya rasa bimbang kerana kejayaan SNAP hanya akan memecahkan undi pembangkang dan akhirnya membantu (kejayaan) BN," katanya pada sidang media di sini, Ahad.
Selain itu katanya, PKR dan Pakatan Rakyat perlu lebih berwaspada dengan kehadiran SNAP yang didakwanya dibayangi BN.
"Kalau kita lihat di beberapa tempat ataupun lihat sahaja di tempat penamaan calon, ada kecederungan SNAP dilindungi oleh BN, jadi kita harus waspada," katanya.
Katanya lagi, kehadiran SNAP hanya akan mengelirukan pengundi apabila terdapat lebih daripada satu parti pembangkang bertanding bagi sesuatu kerusi.
Jelas beliau, pengundi terutamanya di kawasan pendalaman kebiasaan lebih mudah membuat penilaian iaitu sama ada memilih antara Pakatan Rakyat ataupun BN.
"Sebab itu di beberapa tempat termasuk di kawasan Iban, orang memilih sama Pakatan Rakyat ataupun BN kerana yang lain (Bebas atau parti bukan dalam Pakatan Rakyat) kelihatan lebih memihak dan akan menguntungkan BN," katanya.
Mengulas mengenai perkembangan kempen PKR di kawasan berlakunya pertindihan dengan SNAP, Ketua Pembangkang di Parlimen itu berkata: "Sekarang ini nampak kerancakan kempen PKR lebih meyakinkan, masih belum ketara kehadiran SNAP."
Pada pilihan raya Sarawak yang akan diadakan pada 16 April ini, PKR dan SNAP masing-masing akan bersaing antara satu sama lain di 25 kerusi yang majoritinya terdiri daripada masyarakat Dayak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan