Jumaat, 28 Mei 2010

Seksa Dalam Tahanan..Gara-gara Kesilapan Polis...

Seorang peniaga kain dan adik iparnya yang pernah menjadi suspek kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin, tiga tahun lalu, masing-masing memperoleh ganti rugi RM41,500 dan RM31,500 setelah tuntutan saman mereka dibenarkan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Sabariah Othman membuat keputusan itu selepas meneliti hujahan dikemukakan peguam Azmer Md Saad yang mewakili Mohamad Zamri Ibrahim, 36, dan Mohd Suhaimi Yusoff, 31. Mohamad Zamri dan Mohd Suhaimi selaku plaintif memfailkan tuntutan saman mereka pada 19 Jun 2009 atas dakwaan ditangkap dan ditahan secara salah oleh polis.

Mereka menamakan Asisten Superintendan Loh Pei Pei, Ketua Polis Negara dan kerajaan sebagai defendan yang diwakili peguam persekutuan, Natrah Mazman. Dalam penghakimannya, Sabariah berkata, Mohamad Zamri diberi ganti rugi itu berdasarkan alasan keterangan polis bahawa dia bukanlah suspek yang dicari dalam kes itu.

Mahkamah juga mendapati berdasarkan keterangan pihak polis, penahanannya (Mohamad Zamri) adalah secara salah dan tanpa alasan atau syak yang munasabah, malahan polis menggunakan kekerasan yang tidak sepatutnya terhadap beliau.
Sabariah berkata, Mohamad Zamri juga berjaya membuktikan keseimbangan kebarangkalian dalam kes itu. "Sehubungan itu mahkamah membenarkan ganti rugi kecederaan RM1,500, ganti rugi salah tahan RM10,000 dan ganti rugi hukuman/teladan sebanyak RM30,000, yang membawa jumlah keseluruhan ganti rugi RM41,500.

"Mohamad Zamri juga diberi ganti rugi faedah enam peratus sebulan dari tarikh saman iaitu 19 Jun 2009 sehingga penyelesaian sepenuhnya kes itu," katanya. Adik iparnya, Mohd Suhaimi, pula diberi ganti rugi RM31,500 kerana dia ditahan atas alasan yang munasabah namun dia dicederakan dengan secara tidak wajar.

"Dengan itu tuntutan plaintif hanya dibenarkan setakat ganti rugi kecederaan RM1,500 dan ganti rugi teladan RM30,000 serta faedah enam peratus sebulan dari tarikh saman iaitu 19 Jun 2009 sehingga penyelesaian sepenuhnya kes itu,"katanya.

1 ulasan:

  1. Nak selesaikan masalh ini senang saja...Kerajaan BN naikkan lagi elaun mereka RM 500 sebulan..He3

    BalasPadam