Bangkai ikan paus dari spesies Bryde's Whale dianggarkan seberat 4,000 kilogram dan sepanjang 12 meter itu ditemui oleh seorang kanak-kanak yang kebetulan melalui kawasan pantai berkenaan kira-kira pukul 7.30 malam.
Ia merupakan kejadian kedua bangkai binatang marin terdampar di kawasan tersebut selepas kejadian tsunami pada 26 Disember 2004.
Pada 18 September 2006, penduduk Kampung Kepala Jalan yang terletak kira-kira lima kilometer dari Kampung Pulau Sayak digemparkan dengan penemuan seekor penyu besar di pantai berkenaan.
Radzuan Mohamad, 11, yang menemui bangkai ikan paus itu berkata, pada mulanya dia ternampak satu objek besar seperti longgokan sampah di tepi pantai berkenaan.
Bagaimanapun jelasnya, apabila dihampiri objek tersebut, didapati ia adalah seekor ikan besar yang tidak pernah dilihatnya.
"Saya pergi dekat ikan itu dan mendapati ia sudah mati," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Radzuan, dia memanggil beberapa penduduk yang berada berhampiran untuk melihat bangkai ikan itu.
Syukri Hassan, 40, pula berkata, sejak menjadi nelayan 20 tahun lalu, ini kali pertama dia melihat ikan sebesar itu.
"Saya percaya ikan paus ini mati di laut sudah beberapa hari dan bangkainya dihanyutkan ombak ke sini," katanya.
Sementara itu jurucakap Jabatan Perikanan negeri ketika dihubungi berkata, pihaknya telah menghantar pegawai untuk menjalankan siasatan di lokasi penemuan berkenaan.
"Pemeriksaan awal mendapati ikan ini adalah jenis Bryde's Whale yang merupakan salah satu spesies haiwan marin terancam di negara ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan