Rabu, 7 Disember 2011

Shahrizat Digantung Tugas Sehingga Selesai Siasatan..??

Pemuda Pas menggesa Perdana Menteri menggantung tugas Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil selaku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Ini berikutan isu penyelewengan dana RM250 juta oleh syarikat milik keluarga Shahrizat dan pembelian kondominium mewah berharga RM9.8 juta menggunakan dana berkenaan.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan Pemuda Pas, Riduan Mohd Nor juga mahu polis mengambil tindakan segera menyiasat perkara tersebut.

“Kes ini amat berat dan penting kerana ia melibatkan integriti kerajaan serta pemimpin negara dan sudah menjadi perbualan umum dengan pendedahan demi pendedahan dibuat oleh pemimpin Pakatan Rakyat, dan akan memberi kesan negatif pada pandangan masyarakat lebih-lebih lagi melibatkan pemimpin negara.

“Rakyat akan berasa malu jika imej negara menjadi buruk di peringkat antarabangsa kerana pemimpinnya sarat dengan skandal dan penyelewengan kuasa,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin minggu lalu membuat desakan serupa terhadap ketua wanita Umno agar meninggalkan politik dan meletak jawatan berhubung penyelewengan projek NFC tersebut.

Jelas Zuraida, hanya tindakan meletak jawatan boleh menyelamatkan imej ahli-ahli Wanita Umno yang turut berhadapan dengan skandal tersebut, yang didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010.

Bukan sahaja pimpinan Pakatan Rakyat, malah kalangan pemimpin Barisan Nasional (BN) juga membuat desakan yang sama supaya Shahrizat berundur dari jawatannya.

Semalam, Timbalan Pengerusi Majlis Ahli Parlimen BN (BNBBC) Datuk Bung Moktar Radin memberitahu Dewan Rakyat bahawa menteri kabinet yang bertanggungjawab dalam NFC patut meletakkan jawatan.

Sementara hari ini, Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Fariz Musa memberi tempoh selama seminggu kepada pihak polis supaya menyiasat Shahrizat dan keluarganya selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, enggan menerima laporan.

Terdahulu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi mempertahankan Shahrizat dengan berkata beliau tidak wajar meletakkan jawatan kerana tiada kaitan langsung dengan projek kontroversi itu.

2 ulasan:

  1. 1: Ingat rembat duit rakyat, ingat umnoapco.
    2: Ingat mengagihkan hasil negera kepada rakyat ingat PR.
    3: INsya ALlah hancur dan runtuh KERAjaan Be eNd dan umnoapco.

    BalasPadam
  2. Seandainya tiada wujud Pakatan Rakyat...Apa akan terjadi kepada isu ini dan juga isu-isu yang lain ???

    BalasPadam