Ketua Umno Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mungkin ditimpa malang lagi
selepas digantung dua tahun setengah terbabit dengan aktiviti bola
sepak, malam tadi pula 50 orang pengikutnya mengisytiharkan keluar
parti.
Lebih mendebarkan lagi apabila empat daripadanya merupakan penghulu
Umno (Penyelia Pembangunan Mukim - PPM) dari empat mukim di Ketereh yang
diketuai bekas PPM Lancang, Rafia Jusoh, 67.
Tiga lagi iaitu Sanusi Jaya (PPM Buluh Poh), Zakaria Awang Lah (PPM
Kayu Rendang) dan Ismail Jaffar (PPM Chegar). Selain itu Ketua Pemuda
Umno Cawangan Lancang, Abdul Rahman Abdul Rahim.
Rafia yang lebih dikenali sebagai Paksu Ya menyerah borang menyertai
PAS kepada Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada
program ceramah yang diadakan di perkarangan rumahnya di Kampung Durian
Pahit.
Ribuan hadir mengikut ceramah tersebut terpaksa bersila dalam kebun
pokok dokong dan bendang kontang memandangkan perkarangan rumah Paksu Ya
agak sempit.
Manakala kenderaan diletak sejauh hampir satu kilometer dan terpaksa
berjalan kaki melintasi bendang padi jauh sayup mata memandang.
Paksu Ya yang dilantik sebagai penghulu kerajaan negeri ketika
Kelantan di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN), kemudian dilantik
pula sebagai PPM selepas PAS mentadbir Kelantan pada 1990.
Jawatan disandangnya sehingga 2010 apabila tidak disambung lagi
perkhidmatannya dan tempatnya diganti Ketua Cawangan Umno Kampung Durian
Pahit.
Katanya, beliau sudah lama melihat rakyat terutamanya petani didera
pemimpin Umno apabila cuba menyukarkan mereka mendapat bantuan di bawah
kerajaan pusat.
“Paksu masih ingat baja cap dacing tidak diberi kepada penyokong PAS.
PPM tidak mahu menandatangani borang permohonan milik mereka.
“Namun apabila datang ke sini Paksu tak kira terus tandatangan borang
mereka tanpa mengira penyokong PAS atau Umno. Paksu kasihan melihat
mereka datang dari jauh kerana PPM di kampung mereka enggan menurunkan
tanda tangan,” katanya ketika ditemui selepas ceramah tersebut.
Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar
Abdullah, Yang Dipertua PAS Ketereh, Wan Ismail Wan Jusoh, anggota
parlimen Ketereh, Abdul Aziz Kadir, Penyelia Dun Kok Lanas, Nik Mahadi
Nik Mahmood dan Ketua Penerangan PAS Ketereh, Abdul Manaf Abdullah.
Paksu Ya juga memberitahu beliau tidak sanggup lagi bersekongkol
dengan pemimpin Umno apabila menggunakan setiap peluang projek kerajaan
mendapatkan keuntungan peribadi.
“Kalau ada projek mesti dalam komisen. Makan projek kuat sangat di kalangan pemimpin Umno,” ujarnya.
Beliau juga meluahkan rasa terkilan apabila dua anaknya yang cacat
penglihatan sejak berusia 12 tahun tidak mendapat sebarang pembelaan
pemimpin Umno biar pun acap kali memberitahu akan membantu.
Katanya, dua anaknya itu sekarang masing-masing berusia 36 dan 33
tahun tidak mendapat sebarang bantuan dan hanya awal tahun ini mendapat
bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat selepas dibantu
kerajaan negeri.
Beliau juga memberitahu akan mengumpulkan lebih ramai lagi ahli dan
penyokong Umno bagi menyertai PAS menjelang pilihan raya umum ke-13
tidak lama lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan