Lebih 3,000 orang dari pelbagai bangsa dan agama menghadiri
pelancaran Kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (Tibai) di sini
malam Ahad yang dirasmikan oleh Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa
Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali.
Kelab itu ditubuhkan bekas-bekas pemimpin tertinggi Parti Keadilan
Rakyat (PKR) untuk menyedarkan rakyat supaya menolak Ketua Pembangkang,
Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sekutunya yang jelas dilihat membawa
ancaman kepada keselamatan negara.
Ia diketuai bekas Naib Ketua Angkatan Muda PKR, Muhammad Zahid Md
Arip sebagai Mursyidul Am Tibai manakala 28 bekas pemimpin parti itu
dilantik ahli majlis syura yang akan menggerakkan segala usaha bagi
memastikan cita-cita Anwar untuk bergelar Perdana Menteri dihalang.
Ketika berucap di majlis berkenaan, Muhammad Zahid berkata, beliau
tidak gentar untuk berdepan penyokong Anwar dan Ketua Pembangkang itu
sendiri meskipun menerima kecaman hebat menerusi laman sosial Facebook
dan Twitter.
"Dia kata saya tali barut Umno tapi saya tidak gentar dengan setiap
ugutan malah akan turun padang ke setiap pelosok negeri untuk
mendedahkan kepada rakyat siapa sebenarnya Anwar.
"Kita juga akan menyeru rakyat supaya menolak Anwar dan Pakatan
Rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Kita akan guna pendekatan
seperti Gerakan Sumpah Keramat yang pernah digerakkan Angkatan Muda PKR
pada lewat tahun 90-an dahulu," katanya.
Muhammad Zahid turut menyatakan kesanggupan untuk bertanding
menentang Anwar di kerusi Parlimen Permatang Pauh pada pilihan raya akan
datang.
"Andai diberi peluang oleh Perdana Menteri untuk bertanding di sana, saya sanggup menentang Anwar," katanya.
Malah, beliau memberi jaminan bahawa Tibai akan memberi sokongan
penuh kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi PRU-13.
"Kita akan guna pelbagai cara untuk menghalang cita-cita Anwar. Kalau
ada 10 cara, kita akan guna 10 cara itu. Dia tidak layak menjadi
pemimpin di negara ini," katanya.
Sementara itu, Ibrahim berkata, rakyat wajib menolak dan menggagalkan
cita-cita Anwar untuk bergelar Perdana Menteri kerana beliau bukan
sahaja dikaitkan dengan masalah moral tetapi semakin jauh tersesat dalam
perjuangannya.
Katanya, Anwar turut mendokong fahaman pluralisme agama, pengkhianat negara dan menyokong usaha melindungi Israel.
"Saya mengenali Anwar sudah lama ... sejak tahun 1970 lagi sewaktu
kami sama-sama menjadi pemimpin pelajar. Dahulu beliau idola semua orang
termasuk saya tapi selepas ditunjukkan dengan segala bukti, saya sedar
Anwar tidak layak memimpin negara.
"Kerana dia (Anwar) umat Melayu berpecah belah, DAP dapat untung, PAS
hancur, tindak-tanduk dia memecah belahkan kuasa politik orang Melayu
inilah yang saya tidak boleh terima," katanya.
Menurutnya, rakyat di negara ini perlu bersyukur dan berterima kasih
kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang membuat
keputusan tepat memecat Anwar sebelum beliau berada di kemuncaknya.
"Saya percaya Dr Mahathir buat tindakan yang berani dan tegas.
Pemecatan beliau bukan satu konspirasi kerana Dr Mahathir merupakan
individu yang menaikkan Anwar," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan