Multaqa Asatizah dan Du’at (Murshid), kumpulan pendakwah dan
asatizah, mengambil ketetapan bahawa adalah haram jika kerajaan
mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada musim haji.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, sekretariat sekumpulan
20 pendakwah berkata, jika PRU13 diadakan pada musim haji, ia merupakan
satu pengkhianatan kepada amanah dan sistem pemilihan.
"Kami juga bersepakat bahawa pilihan raya dan proses pengundian tidak
boleh atau haram dilaksanakan sewaktu musim perayaan dan ibadah umat
Islam khususnya musim haji yang mana berpuluh ribu pengundi dan petugas
haji sedang berada di luar negara.
"Sekiranya pilihan raya tetap dilakukan di musim haji, itu merupakan
satu pengkhianatan terhadap amanah dan sistem pemilihan. Ini kerana
proses pengundi adalah satu proses kesajsian," kata kenyataan itu.
Sekretariat itu membuat pendirian ini ketika spekulasi bahawa PRU13 akan dipanggil pada musim haji menjadi kontroversi.
Dua minggu lalu, Pas membuat kenyataan ia khuatir kemungkinan PRU13
akan diadakan pada musim haji. Pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN)
khususnya Umno mendakwa Pas membuat tuduhan tidak berasas.
Sehubungan itu, Pas dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan mendesak
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menetapkan tarikh PRU13
lebih awal dan mengelakkan ia diadakan ketika musim haji.
Pada 22 Jun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, BN tidak terikat kepada desakan mana-mana parti politik atau pemimpin termasuk pembangkang untuk menetapkan tarikh pilihan raya.
Beliau yang juga Pengerusi BN dan Presiden Umno berkata mengadakan
pilihan raya semasa musim haji juga bukan sesuatu yang baru kerana
sejarah menunjukkan ia pernah dilakukan sebelum ini tetapi menegaskan
ibadah perlu diutamakan berbanding sebarang urusan lain termasuk pilihan
raya.
Kenyataan itu juga berkata, pihaknya telah dan kerap ditanya berkenaan isu mengadakan pilihan raya sewaktu musim haji.
Katanya, proses pengundian adalah ibarat satu mahkamah besar bagi memilih siapa yang lebih layak diberikan amanah memerintah.
"Maka, sewaktu sistem demokrasi dijadikan panduan dan diterima oleh
majoriti rakyat, tugas terbesar kerajaan melalui Suruhanjaya Pilihan
Raya (SPR) adalah memastikan semaksimum mungkin penyertaan rakyat dalam
pilihan raya, justeru kempen untuk pendaftaran pengundi mestilah
dipertingkatkan kecanggihannya dan dipermudah di seluruh tanah air.
"Rakyat Malaysia selaku pengundi layak yang berada di luar negara perlu
dijamin hak mereka agar boleh mengundi melalui kaedah yang berkesan
lagi dipercayai," katanya lagi.
Kenyataan itu menambah, dalil-dalil menunjukkan, apabila rakyat berada
dalam suatu situasi atau keadaan sistem yang memerlukan mereka yang
bermaklumat memberi kesaksian demi memberikan keputusan demi keadilan,
mereka adalah dikira sebagai saksi yang diharamkan untuk menolak dari
memberikan keterangan dan kesaksian.
Justeru tambah kenyataan itu, dalam konteks pilihan raya, rakyat
sebenarnya bertindak sebagai saksi sama ada untuk menyokong atau menolak
mana-mana calon yang bertanding.
"Justeru, sekiranya pihak berkuasa memutuskan pilihan raya akan
dijalankan pada musim haji, ia adalah suatu tindakan yang akan
menghalang rakyat dari keluar menunaikan tanggungjawab mengundi.
"Jika seorang saksi tidak dibenarkan untuk menolak tanggungjawab
memberi kesaksian, maka tentunya diharamkan juga bagi pihak ketiga untuk
menghalang saksi dari memberikan kesaksian seperti sengaja mengadakan
sesi perbicaraan ketika saksi berada di luar negara," jelas kenyataan
itu.
Justeru menurut kenyataan itu, setiap individu yang mempunyai hak dan
berkelayakan memberikan kesaksian sama ada di mahkamah, termasuk
kesaksian dalam bentuk mengundi sewaktu pilihan raya, tidak dibolehkan
untuk sengaja menyembunyikan kesaksian atau dinafikan hak dan ruang
memberi kesaksian termasuk oleh pihak berkuasa sekalipun
Sehubungan itu kenyataan Murshid berkata, pihak berkuasa perlu teguh
menjalankan amanah yang terbaik buat rakyat bagi mereka menjalankan
tugas dan amanah selaku pengundi yang perlu memberi penyaksian parti dan
calon yang dipercayainya.
"Kami yakin, pihak berkuasa tentunya bijak dalam memutuskan keputusan dalam hal ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan