Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar menafikan akan bertanding kerusi
Dun Bukit Pinang selain mempertahankan kerusi Parlimen Pokok Sena bagi
membolehkannya dilantik sebagai Menteri Besar Kedah jika Pakatan Rakyat
(PR) berupaya mengekalkan pemerintahan negeri ini.
Sambil menggeleng-geleng kepala, Mahfuz berkata, beliau tidak pernah
diminta oleh pucuk pimpinan parti untuk bertanding kerusi negeri.
“Isteri saya pun satu saja, takkan saya nak bertanding dua kerusi,”
ujarnya berseloroh ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya, di sini.
Menurutnya, beliau tidak pernah ambil ‘pusing’ mengenai cakap-cakap
seperti itu kerana tumpuannya hanya untuk mengekalkan kerusi Parlimen
Pokok Sena di bawah penguasaan Pas.
“Saya tak pernah tahu siapa calon menteri besar, atau sama ada menteri
besar (Datuk Seri Azizan Abdul Razak) perlu ditukar. Saya yakin kita
akan kekal berkuasa di Kedah dan berjaya ambil alih Putrajaya,” katanya.
Mahfuz antara lima pemimpin kanan yang diputuskan Pas dalam mesyuarat
parti itu Selasa lalu untuk mempertahankan kerusi yang disandang,
dijangka akan berhadapan dengan Setiausaha Politik Perdana Menteri,
Datuk Sahlan Ismail, juga anak jati kawasan itu.
Ditanya mengenai calon ‘heavyweight’ yang akan dihadapinya, pemimpin
Pas yang berasal dari Titi Gajah itu berkata: “Ini pertandingan biasa,
sesama adik beradik. Kita berlawan dalam politik bukan untuk bermusuh.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan