Empat belas daripada 15 anggota jawatankuasa Wanita Umno Bahagian
Kalabakan yang menang pada pemilihan parti itu Sabtu lepas mengambil
keputusan meletak jawatan sebagai protes berhubung pemilihan itu.
Suriyani Lamai, yang mengetuai protes itu, berkata mereka mengambil
keputusan itu kerana menganggap banyak perkara meragukan dalam proses
pemilihan.
"Kami mengambil keputusan meletak jawatan beramai-ramai kerana kami
tidak puas hati," katanya pada sidang berita di sini pada Rabu yang
turut dihadiri kesemua 14 anggota jawatankuasa bahagian itu.
Selain Suriyani, yang memperoleh undi terbanyak, turut meletak
jawatan ialah Masnah Lama, Hindun Abu Bakar Titingan, Salmah Maidin,
Astika Tahir, Nurida Abu Bakar, Zainab @ Jainab Ali, Shaniah Sampar,
Norizan Omar, Juo Amin, Fatimah Abdullah, Sofiah Daud, Asiah Indobeche
dan Muliati Engkeng.
Sementara itu bekas Ketua Wanita UMNO Kalabakan, Datuk Hamisa Samat
yang turut hadir pada majlis itu berkata pihaknya sudah menghantar
laporan bantahan ke ibu pejabat UMNO pusat kerana tidak berpuas hati
dengan proses pemilihan itu dan berharap Jawatankuasa Pemilihan UMNO
memberi keputusan secepat mungkin.
"Jika boleh, sebelum 19 Oktober ini dan pemilihan semula diadakan secara adil," katanya.
Dalam pemilihan itu, beliau tewas kepada Cahaya Sulaiman dengan
majoriti 33 undi bagi jawatan Ketua Wanita bahagian dan menurut Hamisa,
beliau memperoleh 384 undi berbanding 417 yang diraih Cahaya manakala 10
undi lagi rosak.Katanya, Wanita Kalabakan mempunyai 825 perwakilan yang
layak mengundi pada kali ini tetapi 764 orang yang hadir pada mesyuarat
Sabtu lalu.
"Saya curiga dari mana dapat 47 undi yang lebih itu. Beberapa perwakilan sudah pulang dan tidak sempat mengundi," dakwanya.
Beliau turut melahirkan kekecewaannya dengan proses pemilihan kali ini, yang didakwanya dicampuri banyak pihak.
"Ketika proses pengundian, ramai yang tidak berkenaan seperti kaum
lelaki masuk ke dalam pusat pengundian. Ini tidak sepatutnya berlaku,"
dakwa Hamisa.
Bagaimanapun, Hamisa yang yakin dengan keputusan UMNO pusat kelak
selepas menghantar bantahan, meminta ahli Wanita UMNO Kalabakan supaya
bertenang dan meneruskan perjuangan parti
Tiada ulasan:
Catat Ulasan