Seorang penerbit filem Belanda yang memeluk Islam setelah mencetuskan
kontroversi apabila menerbitkan filem yang menghina Nabi Muhammad S.A.W.
berasa tenang dapat mengerjakan ibadat haji ketika ini.
Arnold Fandor dalam wawancara dengan akhbar Okaz Arab Saudi
menceritakan bagaimana beliau mendapat ketenangan jiwa setelah memeluk
Islam kira-kira
setahun lalu, menyebabkan beliau bertaubat di atas segala dosanya.
Fandor yang bersedia untuk melontar di Jamrah bagi melengkapkan rukun
hajinya, semasa diwawancara berkata beliau merasakan hatinya menjerit
kegembiraan ketika menunaikan haji.
”Di dalam hati saya kini merasai ketenangan. Setiap kali saya berdoa
saya akan mengelap air mata apabila mengenangkan dosa-dosa saya yang
lalu dan bertaubat.
"Kini saya akan berkhidmat dan berusaha di dalam menghasilkan filem dan
produk yang dapat menaikkan Islam serta yang mencerminkan kehebatan
pencipta dan keperibadian akhlak mulia Rasulullah S.A.W. selepas pulang
daripada haji,” beliau dipetik sebagai berkata dalam akhbar itu semalam.
Sambil tersenyum, Fandor menyatakan beliau merasakan satu kepuasan yang
tidak dapat digambarkan ketika menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
Air matanya tidak henti-henti mengalir, menurut akhbar itu.
"Pada mulanya, terdapat kesulitan yang dihadapi oleh saya pada
peringkat awal saya memeluk Islam kerana saya bukan datang daripada
keluarga Islam dan membesar di persekitaran Islam.
"Walau bagaimanapun, ini tidak mematahkan semangat saya untuk belajar dengan lebih mendalam berkenaan agama yang agung ini.
“Saya berasa teruja untuk mendalami dan mengetahui tentang Islam. Lalu
saya membaca banyak tentang Islam sehinggalah ia meresap ke dalam hati
saya dan fikiran saya mengatakan bahawa agama Islam membawa satu mesej
yang besar dan mulia.
"Kemudian perasaan tersebut semakin kuat sehingga hati saya terbuka
lalu saya membuat keputusan untuk memeluk Islam. Sekarang saya bersyukur
dan merasa amat bahagia serta memiliki ketenangan jiwa.
"Sebelum memeluk Islam, saya hanya membayangkan bahawa hidup ini hanya untuk menyedut udara sahaja.
"Saya dapati tidak ada ketenangan yang sempurna sehinggalah saya
menziarahi makam Rasulullah SAW dan ketika itulah saya berhasrat untuk
menerbitkan filem berkenaan keperibadian baginda yang mulia,” katanya.
Fandor berkata ini kali pertama beliau mengerjakan haji dan kali kedua
menjejakkan kaki ke Tanah Suci selepas melakukan umrah pada Februari
lepas.
Katanya selepas selesai menyempurnakan urusan haji, beliau bercadang
meluangkan masa beberapa hari di Madinah al-Munawwarah kerana beliau
berasa amat selesa dan aman untuk membaca al-Quran dan kitab-kitab agama
di Masjid Nabawi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan