Ahad, 2 Februari 2014

Adakah PKR Berani Dengan Cara Ini..???

Apakah perbezaan pendekatan dua pemimpin kanan PKR di Selangor antara Azmin Ali, ketua parti dan Tan Sri Khalid Ibrahim, ketua kerajaan tidak dapat diredakan kalau pun tidak diselesaikan sama sekali?


Saya tidak tahu bagaimana hendak mengatasi perbezaan itu. Mengikut kata almarhum Ustaz Hassan Shukri semasa hidupnya, perbezaan peribadi selalunya diatasi dengan salah seorang meninggal dunia. Saya tidak mahu salah seorang daripadanya mati dalam waktu yang terdekat.

Sekalipun perbezaan yang ada tidak sampai meruntuhkan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Selangor tetapi penyokong kerajaan di luar kerajaan payah hendak berdepan orang ramai termasuk hendak meredakan kekeliruan penyokong parti masing-masing.

Dalam pergolakan yang mungkin tidak besar tetapi tidak juga kecil, sekutu PKR iaitu PAS dan DAP tidak ada apa-apa masalah muafakat kerajaan yang ada. Kalau ada masalah pun boleh dirujuk kepada pimpinan PR. Jika hal ini berlanjutan, payah bagi PR untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Tidak saja ia mengelirukan orang di negeri Selangor, bahkan ia menyukarkan PR di seluruh negara untuk mengaut momentum baru bagi mengambil Putrajaya.

Sedikit sebanyak ia mengganggu tumpuan PR untuk menghadapi isu kepincangan BN dalam isu kos sara hidup melambung.

Jika PKR payah meredakan pergolakan itu, mungkin Anwar Ibrahim sendiri mengambil pentadbiran Selangor atau apa kata kalau PKR pinjamkan pentadbiran negeri Selangor itu kepada PAS? Tidak bijak bagi PAS untuk mengambil alih kuasa daripada kerajaan yang sama ditegakkannya sekarang.
Tetapi tentulah PAS dan DAP tidak seronok dengan perkembangan yang berlarutan itu.

Daripada kedua-duanya memendam rasa dan terbuku di hati, apakah salahnya PKR berundur bagi laluan kepada PAS bagi meneruskan suasana dan pentadbiran yang baik sekarang?

Bukan hendak kuasa tetapi hendak meredakan keadaan supaya rakyat senang dan pegawai kerajaan pun selesa menjalankan tugas.

Mungkin Solihin Mohyi atau Iskandar Samad menjadi menteri besar yang baru bagi meneruskan pentadbiran sudah disudah dimantapkan oleh Tan Sri Khalid itu.

Kedua-dua Tan Sri Khalid dan Azmin Ali diperlukan di Selangor. Tan Sri Khalid boleh dikekalkan sebagai penasihat ekonomi dan pentadbiran kerajaan yang bergaji tetap, berpejabat dan ada kakitangan khas.

Kalau Anwar Ibrahim kini menjadi penasihat ekonomi tidak bergaji, maka kedua-dua Datuk Seri Anwar dan Tan Sri Khalid boleh diberi gaji supaya mereka menggunakan kebolehan dan kemahiran masing-masing untuk meningkatkan lagi kemajuan negeri.

Kedua-duanya boleh berkeliling dunia untuk menarik pelaburan. Kalau tidak ambil peeruntukan baru daripada wang kerajaan tidak mengapa untuk gaji mereka tetapi potongan kenaikan elaun untuk MB, Exco dan Speaker mungkin dapat menampung keperluan mereka.

Kecekapan Azmin juga boleh digunakan bagi membantu menteri besar baru daripada PAS untuk  membangunkan lagi Selangor. Mana yang Azmin rasa payah untuk disumbangkan dulu, munkin tidak banyak masalah untuk disalurkan.

Bila saya cadangkan PR boleh meminjam khidmat PAS bagi meneruskan kelangsungan pentadbiran/kerajaan PR negeri Selangor tidak pula bererti merebut peluang sama buat DAP.

Mungkin PAS tidak banyak kelebihan berbanding DAP tetapi keadaan yang ada payah bagi DAP untuk mengemukakan calon menteri besarnya kerana suasana politik perkauman dan prejudis yang ada terutama di kalangan penyokong BN, maka DAP tidak mahu terlibat dalam suasana bising yang diada-adakan.

DAP adalah selesa dengan keadaan yang ada, maka ia tidak sedia mencari susah. Dan DAPpun tidak ada Adun Melayu. Tidak semestikan ia satu lagi hak istimewa orang Melayu, masyarakat belum bersedia menerima MB bukan Melayu.

Dengan apa yang Datuk Seri Nizar Jamaluddin buat di Perak dulu, DAP lagi fobia dengan pemimpin PAS untuk memimpin kerajaan negeri.

Cetusan saya ini terpakai kalau PKR tidak dapat meredakan masalahnya. –Subky Latif

3 ulasan:

  1. Secara peribadi saya rasa Iskandar Samad bukanlah yang terbaik di kalangan PAS untuk berada di kerusi MB. Kenapa nama Khalid Samad tidak berani diketengahkan? Apakah kelantangan beliau dalam mempertahankan pendapat, pendirian dan kenyataannya menjadi masalah kepada pimpinan tertinggi PAS? Beliau dan Dr. Rani saya rasakan lebih dinamik untuk jawatan MB.

    BalasPadam
  2. jangan jadi macam di kedah daa ! ABU !

    BalasPadam
  3. Sheikh, Kalau dipinjamkan kepada pas negeri Selangor (MB) PRU 14 nanti takut jadi Kedah, Perak dan lebih awal Terengganu............Faham2 lah sendiri sheikh hoi! Belum tahu hujung pangkal pemuda Pas dah nak boikot PRK......kekadang tak dapat kita mencari rasionalnya golongan sarban tinggi ni (ST)!!!!!. Saya juga melihat sejarah di Kota Damansara, sg. Aceh dan beberapa tempat di Terengganu......alaihai puak Hasang Jati masih kuat dalam Pas. Pabila N Presiden dituduh Syiah pun puak puak ST membisu serupa setan dikenali. Apatah lagi nak tegur mufti yg jahat.? Eluklah puak2 penyokong ST ni pi join blog Al-Brangi. Kerusi kajang milek PKR, hairan kenapa ST ni dok sebok2......kalau tewas sekali pon majority di Selangor milek PR.....salah ka bincang eluk2. DAP yg kapiaq pun memberi sokongan asalkan dapat menyelesaikan Masalah dalaman PKR. Kekadang aku jadi malu menjadi penyokong tegar PAS kerana fikiran puak2 ni terlalu sempit, sehinggakan terikut2 rentak umporno.

    BalasPadam